JODOH datang dalam pelbagai cara. Namun dalam era serba canggih ini, ramai pasangan yang bertemu jodoh menerusi media sosial.
Kesibukan bekerja menjadikan golongan bujang yang masih belum bertemu jodoh menggunakan kaedah alternatif tersebut dalam mencari pasangan hidup.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan ikhtiar jodoh melalui media sosial dan permasalahan dalam rumah tangga, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Pakar
Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh di Klang, Selangor baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Baru-baru ini, Kosmo! ada melaporkan trend mencari jodoh menerusi media sosial terutamanya TikTok? Apakah pendapat tuan mengenai trend ini?
HUSHIM: Ini adalah satu trend baharu memandangkan kita berada dalam zaman media sosial. Sebelum ini, saya ada mengendalikan pasangan yang mahu mencari jodoh melalui kaedah resume.
Bagi saya, kaedah mencari jodoh menerusi TikTok ini lebih banyak membabitkan orang yang mempunyai personaliti ‘ekstrovert’ atau lebih bersikap terbuka.
Hal ini kerana mereka perlu mempromosikan diri secara terbuka, sesuai dengan personaliti diri. Maka, ia adalah satu trend terkini yang terbukti berkesan memandangkan ramai yang sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk berkenalan.
Selepas berkenalan menerusi TikTok, proses taaruf itu akan berlanjutan di luar media sosial iaitu keluar bersama dan sebagainya.
Dari situlah mereka terus berusaha mengenali karakter dan personaliti masing-masing. Bagi saya, trend ini adalah satu perkara yang normal dan merupakan satu bentuk ikhtiar.
Terbaharu, ada seorang pemuda berusia 27 tahun bertemu jodoh dengan nenek berusia 60-an menerusi TikTok. Adakah ini membuktikan media sosial platform terbaik mencari jodoh?
Saya melihat ia sebagai sesuatu yang biasa kerana lelaki muda ini mungkin sudah beberapa kali gagal dalam percintaan sehingga menjadikan mereka mungkin sudah penat, lalu mahukan wanita lebih berusia sebagai pasangan.
Wanita berusia lazimnya lebih memahami, lebih mengambil berat, lebih mendengar, lebih sifat empati dan sebagainya. Oleh itu, mungkin mereka merasakan bahawa wanita lebih berusia itu sesuai dengan jiwa dan ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Sebagai seorang kaunselor selama hampir 40 tahun, saya kerap berdepan dengan kes yang mana lelaki muda datang berjumpa dan mengaku tertarik dengan wanita lebih berusia. Mereka ini kurang serasi dengan wanita sebaya dan kerap bertengkar atau sebagainya.
Media sosial bukan saja platform untuk bertemu jodoh, malah ia juga menjadi punca kepada keruntuhan rumah tangga. Sejauh manakah seriusnya masalah ini?
Media sosial ini ada kebaikan dan keburukannya. Apabila dilihat, media sosial ini adakalanya digunakan oleh seseorang untuk menceritakan atau meluahkan masalah rumah tangga.
Seeloknya, sebarang masalah dalam rumah tangga perlu dibincang oleh suami isteri itu sendiri.
Sekiranya perbincangan tersebut gagal, maka mereka seharusnya datang berjumpa kaunselor bertauliah bagi mendapatkan khidmat nasihat bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.
Begitupun, ramai dalam kalangan kita yang meluahkan masalah menerusi media sosial dan komen-komen yang ditinggalkan oleh orang ramai boleh menyebabkan masalah rumah tangga menjadi semakin kusut.
Selaku seorang kaunselor, saya melihat ini sebagai sesuatu yang serius dan sangat tidak bersetuju dengan tindakan berkongsi masalah rumah tangga menerusi media sosial.
Trend terkini menunjukkan ramai pasangan yang mempunyai skandal di luar. Situasi ini berlaku disebabkan pergaulan tanpa batas antara lelaki dan wanita. Bagaimanakah tuan melihat permasalahan ini?
Ya, saya akui banyak mengendalikan kes suami atau isteri menjalin hubungan di tempat kerja. Bagi saya, ia berlaku apabila pasangan tidak berkomunikasi antara satu sama lain.
Jika dilihat, ramai pasangan yang apabila pulang daripada tempat kerja, mereka lebih memilih untuk menghabiskan masa dengan melayari platform media sosial daripada berbual bersama pasangan.
Ramai juga pasangan yang hanya tinggal sebumbung, namun tidak bercakap antara satu sama lain.
Apabila di tempat kerja pula, mereka banyak menghabiskan masa bersama teman sepejabat seperti bercerita masalah peribadi atau makan tengah hari bersama, yang kemudiannya menyebabkan berlakunya masalah skandal.
Selain banyak menghabiskan masa bersama skandal di pejabat, wang juga menjadi pengaruh berlakunya hubungan sulit ini.
Sebagai contoh, pekerja bawahan yang menjalin hubungan dengan majikan atasan ternyata lebih berduit dan menggunakan peluang itu untuk mengikis. Ini merupakan perkara sebenar yang berlaku kini dan ia amat membimbangkan.
Oleh itu, saya ingin berpesan, sekiranya berlaku pertengkaran dalam hubungan, jangan membiarkan ia berlarutan begitu lama.

Setiap individu perlu berlaku jujur dengan pasangan bagi menjamin kesejahteraan rumah tangga. Malangnya, ramai tidak berlaku jujur dengan pasangan. Bagaimana pendapat tuan?
Dalam perkahwinan, apa yang paling penting adalah kejujuran. Saya banyak melihat dan mengendalikan kes yang mana si isteri berjumpa dengan saya serta memaklumkan bahawa sudah tidak mempunyai rasa percaya terhadap suami.
Ini kerana suami kerap berbohong dan tidak berlaku jujur kepadanya. Menipu atau tidak berlaku jujur dengan pasangan itu adalah perkara yang salah.
Jadi apa keadaan sekalipun, berlaku jujur itu perlu dan tiada istilah ‘bohong sunat’ dan sebagainya.
Kadang-kadang, kehidupan sebagai kekasih itu indah belaka. Apabila berkahwin, mula ada rasa tidak puas hati terhadap pasangan. Adakah itu perkara normal dalam perkahwinan?
Hubungan percintaan yang sudah terjalin selama 10 tahun atau 20 tahun sekali pun bukan bermakna anda sudah betul-betul mengenali pasangan. Ini kerana sepanjang tempoh bercinta itu, banyak perkara yang disembunyikan oleh pasangan.
True colors atau pun sikap sebenar hanya terserlah selepas sudah berkahwin dan perkara itu adalah sesuatu yang normal. Oleh itu, apabila timbulnya rasa tidak puas hati, maka dapatkan khidmat pakar untuk kaunseling pasca-perkahwinan.
Sejak kebelakangan ini, ramai wanita sudah berani menggunakan hak mereka untuk meminta cerai di mahkamah syariah apabila suami gagal menunaikan tanggungjawab. Adakah ia sesuatu yang sihat dalam rumah tangga?
Dalam kebanyakan kes yang mana wanita datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan khidmat nasihat atau berhasrat mahu bercerai dengan pasangan, semuanya bersebab.
Jika dahulu, sebab utamanya adalah suami pasang lain atau berlaku curang, namun kini semakin ramai wanita yang berani meminta cerai kerana faktor nafkah.
Kebanyakan isteri moden kini sama-sama bekerja bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.
Oleh sebab itu, ramai suami culas dalam memberikan nafkah zahir, sedangkan itu sudah menjadi tanggungjawab si suami.
Isteri juga terpaksa menampung bayaran sewa rumah, membeli barangan dapur dan sebagainya sedangkan tanggungjawab suami adalah menyediakan tempat tinggal, makan dan pakai buat si isteri.
Malah, masalah kewangan juga menjadi punca utama kebanyakan pasangan bercerai, khususnya membabitkan pasangan muda.
Proses perceraian yang rumit membabitkan golongan artis membuatkan ada segelintir masyarakat takut untuk mendirikan rumah tangga. Adakah urusan perceraian sangat rumit?
Memandangkan ketika ini merupakan zaman media sosial, maka proses perceraian golongan selebriti begitu mudah diakses. Ini menyebabkan ada orang yang mungkin takut untuk mendirikan rumah tangga.
Hakikatnya, proses perceraian itu tidaklah sukar dan bukan semua orang yang bercerai itu mempunyai masalah rumah tangga seperti golongan selebriti ini.
Bagi saya, kita boleh melihat kerumitan proses yang dilalui oleh golongan artis itu sebagai satu cara untuk mempopularkan mereka.
Islam membenarkan suami berkahwin lebih daripada seorang jika berkemampuan. Namun, ramai isteri rela diceraikan daripada hidup bermadu. Kesudahannya, si isteri minta cerai. Mengapakah situasi ini berlaku?
Dalam Islam, poligami sememangnya dibolehkan. Namun ramai yang hanya memfokuskan tentang ‘kahwin lebih daripada seorang’ itu sahaja tanpa melihat dan memahami perkara lebih penting iaitu sifat adil dalam poligami itu.
Adil merujuk kepada adil zahir dan batin, namun ramai yang gagal berlaku adil. Selepas berpoligami, suami akan lebihkan isteri kedua hingga menyebabkan isteri pertama tidak boleh menerimanya.
Ini kerana naluri seorang wanita itu sememangnya tidak suka berkongsi kasih, menyebabkan mereka menuntut cerai.
Sebagai kaunselor, bolehkah tuan kongsikan tip-tip untuk menjamin kesejahteraan rumah tangga supaya berkekalan.
Ramai pasangan yang berkahwin atas dasar cinta dan kasih sayang, maka ia harus dikekalkan. Selain itu, pasangan perlulah sentiasa berlaku jujur antara satu sama lain.
Apabila sudah berkahwin, kita sepatutnya lebih terbuka dengan pasangan dan tidak menyembunyikan perkara-perkara seperti kata kunci pada telefon bimbit kerana boleh menimbulkan syak wasangka.
Selain itu, luangkan masa bersama pasangan selepas solat seperti membaca al-Quran bersama-sama. Paling penting, habiskan masa bersama pasangan dan berkomunikasi dengan baik.
Sesekali, sentuhlah pasangan atau renung mata mereka supaya rasa sayang itu berkekalan.














