fbpx

Sultan Mizan kurnia darjah kebesaran kepada 111 individu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nor (kiri) menerima kurnia Darjah Kebesaran D.P.M.T daripada Sultan Mizan (kanan) pada majlis istiadat penganugerahan darjah kebesaran dan pingat di Istana Syarqiyyah di sini hari ini.

KUALA TERENGGANU – Seramai 111 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-61.

Sultan Mizan berkenan menyampaikan darjah kebesaran dan bintang berkenaan pada majlis istiadat penganugerahan tersebut berlangsung di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Mendahului senarai penerima darjah kebesaran tersebut ialah Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Datuk Zulkifli Ali dan Pengerusi dan Pengarah Urusan Yen Tin, Datuk Tan Choo Meng.

Zulkifli menerima gelaran Datuk Nara Setia manakala Choo Meng pula Datuk Kaya Pati.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Eksekutif TSLAW Tower, Tan Sri Law Ten Seng pula dikurnia Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu Yang Amat Terpilih (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) dikurnia kepada enam individu.

Antara penerima ialah Pengarah Jabatan Pencegahan dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail; Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Seri Dr. Yusof Ismail.

Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk kepada 27 individu.

Antara penerimanya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah; Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron; Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Dr. Fadzli Adam dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Ishamudin Hashim.

Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air KIPC Sdn. Bhd, Atemin Sulong; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, Wan Adnan Wan Derahman dan Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Terengganu, Anuar Awang turut menerima D.P.M.T. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI