fbpx
Sate ini dimakan bersama kuah kicap selain limau nipis, bawang, sambal serta kacang. – MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Sate kicap kembalikan nostalgia sate jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA awal 1900, sate dijaja dari rumah ke rumah merupakan menu yang dipopularkan peniaga berketurunan Jawa di Selangor.

Menjadi pemandangan biasa bagi orang ramai menemui penjaja-penjaja ini di pinggir-pinggir jalan. Barangan jualan pula dikandar di atas bahu.

Selain sate, mereka akan mengandar bangku kecil serta ‘dapur’ pembakar. Wak-wak sate ini umpama mamak-mamak berniaga nasi kandar di Pulau Pinang.

Apabila dipanggil mereka akan berhenti, buka bangku-bangku kecil untuk pelanggan menunggu, manakala wak lincah membakar sate jualan.

Dimulai dengan bisnes bergerak, kini perniagaan sate telah mengalami perubahan mengikut zaman.

Mengambil konsep ini, dua anak muda, Farhan Najib Yusoff, 31, dan rakannya, Izwan Alif Zainul Rashid, 33, mengusahakan perniagaan Sate Kicap di Ipoh, Perak.

Mereka mengusahakan perniagaan sate bergerak atau secara mobile sejak hari kedua Ramadan lalu. Bukan sahaja pendekatan jualan yang unik, menu yang ditawarkan juga agak asing bagi ramai orang iaitu sate kicap.

Farhan Najib berkata, idea menjual sate ini muncul selepas dia makan sate di kawasan perumahan ibu mentuanya di Balakong, Selangor.

“Sebenarnya ini adalah sate Jawa. Menu ini berbeza dengan sate yang biasa kita makan iaitu dicicah dengan kuah kacang.

“Sate Jawa ini dicicah dengan kuah kicap, mulanya memang mahu kekalkan nama sate Jawa itu, namun kami memilih nama sate kicap berikutan faktor kicap itu sendiri,” ujarnya kepada Panorama.

Menurut jurugambar portal berita berbahasa Inggeris itu, dia yang terpegun dengan kelainan rasa sate Jawa tersebut mula berkira-kira untuk mengkomersialkan menu itu.

“Terlintas idea untuk membukanya di Ipoh sebab isteri saya mengetahui resipi aslinya. Saya kemudian bertemu Wan Mok (nama panggilan Izwan Alif) berbincang dengan lebih serius lagi.

“Isteri saya, Maryanti Misrawi, 31, membuat sate ini dan apabila Wan Mok merasainya sendiri, tanggapan pertamanya, dia teruja dengan rasa menu ini. Tiada lagi sate sebegini dijual di Ipoh,” katanya.

Anak muda kelahiran Ipoh itu berkata, dia memerah otak untuk mendapatkan konsep bisnesnya dan teringat salah satu adegan dalam filem hitam putih 1960-an, Pontianak Gua Musang.

“Dalam adegan itu memaparkan Allahyarham Wahid Satay menjual sate secara kandar dan dikerumuni pembeli yang duduk atas bangku kecil.

Walaupun seketika, namun ia merupakan paparan ‘berharga’ menceritakan sejarah bagaimana orang dahulu berniaga sate,” katanya.

Bertitik-tolak dari situ, menurut Farhan Najib, bisnes Sate Kicap cuba mengimbau kenangan orang dulu-dulu yang menjual sate dengan konsep kandar.

“Cuma Sate Kicap menggunakan sebuah van mini. Pada asalnya, kami cuma ingin membuka perniagaan secara biasa seperti peniaga-peniaga sate yang biasa kita nampak.

“Namun, kami terfikir susah untuk memperkenalkan Sate Kicap kepada pelanggan di Ipoh. Lebih-lebih lagi mereka terbiasa makan sate berkuah kacang.

“Pendek kata, kami gunakan konsep van mini ini supaya senang bergerak dari satu warung ke satu warung lain. Kami memilih Daihatsu Hijet kerana ia berkategori van vintaj. Selain harganya yang mampu milik, kena dengan modal kami,” ujar Farhan Najib berseloroh.

PERNIAGAAN Sate Kicap bergerak menggunakan sebuah van mini untuk bertemu pelanggan.

Kongsi Farhan Najib, antara komen orang apabila mencuba sate kicap kali pertama ialah “bang, macam mana cara nak makan sate ini? Macam mana mahu buat ini? Sedap, kali pertama saya cuba. Pedas dan manisnya cukup, saya suka.”

Farhan Najib kemudian akan menerangkan kepada mereka bagaimana mahu makan dengan cara yang betul agar rasanya seimbang.

“Pada mulanya ramai ingatkan sate ini dijamu bersama kuah kacang seperti yang biasa dimakan, tetapi bila kami cakap dimakan dengan kuah kicap mereka seperti pelik.

“Kuahnya ada juga kacang tetapi digaulkan dengan kicap, limau nipis, sambal dan bawang,” katanya.

Sepanjang Ramadan dan Syawal lalu juga, Sate Kicap menerima beberapa tempahan untuk moreh, rumah terbuka selain ada yang menginfakkan wang untuk diedar secara percuma kepada pelanggan.

Menurut Farhan Najib yang baru kali pertama menjual makanan, dia beruntung kerana dapat memulakan Sate Kicap dengan Wan Mok yang sudah berpengalaman kira-kira 11 tahun dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

Menyingkap perjalanan karier, kata Izwan Alif atau Wan Mok pula, sejak lebih sedekad lalu dia telah melakukan pelbagai pekerjaan.

Daripada bekerja di stesen minyak, menghantar surat khabar, penghantar barang sehinggalah bidang pekerjaan gig seperti penghantar makanan.

“Pernah suatu ketika saya membawa lori dan dua per tiga dari tempoh 11 tahun itu banyak keringat dicurahkan dalam bidang F&B.

“Apabila difikirkan semula memang saya suka kerja secara mobile sebegini. Apabila disuakan dengan idea perniagaan Sate Kicap, saya tidak berasa ralat. Terus setuju, namun ia diikuti perancangan rapi,” katanya.

Jelas Wan Mok, buat masa ini, pada sebelah pagi Sate Kicap menjalankan operasi secara kekal di Warong Sungai Rokam, Ipoh bermula pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Pada sebelah malam pula, van Sate Kicap digerakkan ke Restoran Nasi Ayam Goreng Kunyit Bonggol juga di Sungai Rokam bermula pukul 5 petang hingga 10 malam.

“Jika ada sebarang perubahan lokasi kami akan maklumkan di media sosial kami terutama di Instagram dan Facebook Sate Kicap. Kami menjual sate ayam pada harga RM1, daging RM1.50 dan kambing RM2 untuk secucuk,” ujarnya yang juga anak kelahiran Ipoh.

Ceritanya lagi, isi ayam, daging dan kambing itu diperap menggunakan kicap selain kuah kicap tersebut dimasak dengan dimasukkan bahan sampingan lain.

“Antara bahan ditambah dalam kuah kicap itu adalah cili kisar. Sate yang siap dimasak dihidangkan dalam pinggan bersama sedikit kacang, limau sebelum digaulkan sekali.

Seorang penggemar Sate Kicap, Nazira Hasanah Nasaruddin, 25, berkata, dia mendengar mengenai Sate Kicap ini dari mulut ke mulut pengunjung sebelum ini.

“Satenya ada beza berbanding sate yang selalu kita cicah dengan kuah kacang.

“Kombinasi kuah kicap dan sedikit sambal memang kena dengan selera ramai. Malah, saya yakin sate kicap ini mampu menjadi salah satu menu yang wajib dicuba jika berkunjung ke Ipoh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN