fbpx
SITI NURHALIZA

Impian ‘mendunia’ Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERADA dalam kelas tersendiri dalam tempoh hampir tiga dekad dalam industri seni suara, tiada apa yang ingin dikejar Datuk Seri Siti Nurhaliza lagi kecuali ketenangan hidup dan terus berkarya selagi dapat menginspirasikan khalayak.

Senantiasa menghargai para peminat dengan memenuhi permintaan bergambar bersama menjadi tunjang diutamakan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sentiasa mengingatkan diri untuk menghargai setiap insan di belakang kejayaannya.

Ketika awal kemunculan dahulu, penyanyi kebanggaan negara itu pernah menangis disebabkan kepenatan melampau, namun bersyukur masih mampu memenuhi permintaan penyokongnya.

“Saya banyak belajar daripada peminat. Pernah juga suatu ketika dahulu, saya tak larat layan peminat sampai menangis.

“Saya percaya peminat faham kalau artis itu menolak dengan baik, mereka pun tidak memaksa. Malah setiap kali peminat ajak bergambar, saya pujuk hati dan meletakkan diri saya di tempat mereka,” ujarnya.

Menurut satu-satunya penghibur tempatan yang diundang berkongsi pentas dengan maestro muzik antarabangsa, David Foster itu, bantuan pengurus keperibadian sangat penting bagi memastikan kelancaran.

MENGAKUI pernah menangis ketika di awal kemunculan dulu disebabkan terlampau penat, namun Siti bersyukur masih mampu memenuhi permintaan penyokong setianya.

Pengurus peribadi

Kata Siti, dia bertuah mendapat sokongan daripada pengurusnya, Rozi Abd. Razak yang turut bertindak sebagai orang tengah antaranya dengan peminat serta pihak berkaitan kerjaya seni.

“Dalam masa sama, penting untuk ada pengurus yang baik iaitu penasihat atau orang tengah bagi melancarkan lagi urusan.

“Susah nak puaskan hati orang. Cuma paling penting kita jaga tingkah laku supaya tidak menjadi buah mulut,” katanya lagi yang turut mengulas isu netizen melabel selebriti sebagai sombong atau baik.

Begitupun tambah Siti, artis juga sama seperti insan lain yang mempunyai hati dan perasaan.

“Saya pun baru tahu mengenai ‘trend’ artis baik, artis teruk ini dalam TikTok dan Twitter. Walaupun sekadar usikan, tidak adil menilai orang daripada pertemuan kali pertama.

“Tapi itulah laman sosial. Kita boleh cakap apa dan nilai siapa saja. Namun bagi saya kenali dahulu artis itu sebelum menjatuhkan tanggapan dan hukuman terhadapnya,” ujar Siti.

Pada masa sama, Siti turut berpesan pada artis tempatan agar sentiasa menjaga akhlak dan beradab sekiranya mahu menolak sebarang pelawaan peminat seperti bergambar.

“Apabila kita meletakkan diri sebagai ‘public figure’, secara tak langsung itu memberi ruang pada orang untuk menilai kita.

“Saya tak cakap sebagai artis kita tak boleh buat salah, kita pun manusia biasa dan saya pun ada kekurangan, tapi kita kena hargai peminat.

“Sekiranya dalam emosi yang tidak baik sekali pun, tolak pelawaan peminat dengan penuh adab supaya orang tak menilai kita buruk,” luah ibu kepada dua cahaya mata itu.

Siti menjadi satu-satunya artis tanah air yang bakal menjayakan Konsert David Foster & Friends Asia 2023 pada 7 Ogos depan. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Irama Malaysia ke Royal Albert Hall

Rancak berkongsi rasa mengimbau kenangan lalu, Siti turut meluahkan keinginan mahu mengulang kembali kehangatan konsert di Royal Albert Hall, London yang pernah direalisasikan pada April 2005.

Cuma untuk perancangan konsert kali kedua di gelanggang gah tersebut, dia mahu memartabatkan pula muzik tempatan dan irama Malaysa di pentas tersebut.

“Saya bersyukur dengan apa yang sudah dilalui dan dikecapi dalam hidup. Sekarang ini bukan waktu untuk saya berlumba dengan artis muda.

“Apa yang saya mahu lakukan pada masa akan datang adalah terus memeriahkan industri muzik dengan mengangkat irama Malaysia.

“Saya ingin buat konsert berkonsepkan irama tradisional ini ke Royal Albert Hall dan pentas antarabangsa lain,” katanya yang meminta tempoh tiga tahun untuk berbuat demikian.

SITI NURHALIZA kekal menjadi kesayangan ramai dek keperibadian, sikap rendah diri selain sentiasa mengutamakan peminat.

Sepentas dengan David Foster

Begitupun, tumpuan Siti buat masa ini adalah terhadap Konsert David Foster & Friends Asia 2023 yang bakal terlaksana pada 7 Ogos depan.

Katanya, selain persembahan mega di Mega Star Arena Kuala Lumpur, pemenang Grammy itu turut mengundangnya menjayakan jelajah di Singapura pada keesokan malam yang turut disertai Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred and Katharine McPhee.

“Berdiri sepentas dengan Foster menjadi impian setiap artis, saya pula apabila tengok senarai artis yang hebat, saya rasa sangat kecil.

“Saya belum dikenali di peringkat antarabangsa, sebelum ini saya hanya dikenali di Asia tapi saya percaya belum terlambat untuk dikenali di pentas antarabangsa pada usia 44 tahun,” katanya yang bakal mendendangkan dua lagu di konsert berkenaan.

Selain rancak memenuhi undangan pentas, akuinya dalam melewati perjalanan sebagai anak seni kepuasan kini lebih kepada pembabitan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tidak hairan Siti kerap mengadakan konsert amal untuk mengumpul dana di bawah yayasan yang ditubuhkan bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Yayasan Nurjiwa.

“Perkara seperti itu membuatkan saya lebih puas kerana dapat memberi semula kepada peminat yang selama ini menyokong karier seni sampai sekarang,” katanya menggulung bicara.

SITI berhasrat untuk mengulang semula sejarah mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London pada 2005.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN