fbpx

Hakim ikuti bengkel, serius mengadili jenayah hidupan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para hakim di Sarawak mengikuti bengkel berkaitan jenayah hidupan liar di Semenggoh baru-baru ini.

JENAYAH hidupan liar yang tidak dibendung boleh mengundang kesan negatif terhadap kelestarian flora dan fauna di Malaysia.

Tidak hanya itu, ia juga perlu diambil serius dengan penguatkuasaan lebih ketat kerana perlakuan salah itu boleh menjejaskan ekosistem negara.

Sebagai usaha untuk menyampaikan kesedaran ke arah itu, sebuah bengkel bagi memberi maklumat dan sumber kepada hakim mengenai pengurusan jenayah hidupan liar Sarawak telah berlangsung di Semenggoh, Sarawak baru-baru ini.

Dipengerusikan dan dirasmikan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, bengkel sehari itu telah diadakan pada 13 Mei lalu.

Menurut Abdul Rahman, bengkel itu bertujuan meningkatkan kapasiti dan pengetahuan hakim di negeri ini mengenai hidupan liar dan status semasanya.

Katanya adalah penting bagi para hakim untuk meluaskan pemahaman mereka tentang pemuliharaan hidupan liar dan jenayah yang berkaitan dengannya bagi memastikan hukuman yang adil diberikan kepada pesalah.

“Menarik perhatian kepada keparahan jenayah hidupan liar, perlu digariskan kesan buruk terhadap biodiversiti dan ancaman yang ditimbulkan kepada kesihatan manusia oleh aktiviti sedemikian.

“Saya menegaskan bahawa jenayah hidupan liar harus dianggap sebagai kesalahan serius dan bukannya kesalahan sivil semata-mata kerana kerosakan besar yang disebabkan oleh pesalah terhadap alam sekitar dan risiko kesihatan yang ditimbulkannya,” katanya semasa berucap ketika mempengerusikan bengkel berkenaan.

Tambahnya, untuk bertindak sebagai pencegahan, beliau mencadangkan pindaan kepada Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

PENJENAYAH hidupan liar patut dikenakan hukuman yang berat dan ada pihak menyeru kepada penambahan tempoh pemenjaraan. – GAMBAR HIASAN

Ia bertujuan meningkatkan tempoh pemenjaraan dan bukannya bergantung semata-mata pada denda sebagai penalti bagi jenayah hidupan liar.

Bengkel yang dianjurkan bersama oleh Kumpulan Kerja Alam Sekitar Sarawak Courts (SWGE), Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan WWF-Malaysia mempamerkan komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar.

Dalam bengkel berkenaan, penceramah daripada SFC, WWF Malaysia, Program Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia dan Jabatan Peguam Negara Negeri Sarawak turut menyampaikan pembentangan mengenai pelbagai topik.

Antaranya termasuklah kepentingan pemuliharaan dan cabaran hidupan liar, kepentingan budaya hidupan liar, jenayah hidupan liar di dalam negeri dan Asia Tenggara, aktiviti penguatkuasaan dan pendakwaan serta undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

Para peserta turut melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh pada sebelah petang.

Sementara itu WWF Malaysia dalam satu kenyataan baru-baru ini turut memberitahu bahawa bengkel ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan SWGE dan pihaknya untuk bekerjasama dengan badan kehakiman serta agensi penguatkuasaan bagi pemuliharaan dan perlindungan hidupan liar yang lebih baik.

“Pada bulan Jun tahun lalu, Garis Panduan Hukuman Sarawak bagi Jenayah Hidupan Liar telah dilancarkan dengan kerjasama SWGE, WWF Malaysia dan SFC. Ia bertujuan meningkatkan lagi pemahaman hakim tentang hidupan liar dan perlindungannya di Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, beberapa siri aktiviti kesedaran dan pembinaan kapasiti telah dicadangkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI