fbpx

‘Jolok’ pegawai kastam lepaskan lori kargo KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD Zyed (jersi hijau) didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM69,350 pada 2017 hingga 2022. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/ KOSMO!

SEREMBAN – Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM69,350 supaya tidak memeriksa lori milik sebuah syarikat yang membawa keluar barang dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2017 hingga 2022.

Tertuduh, Mohammad Zyed Ibrahim, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Ketika prosiding, jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir satu jam untuk membacakan 43 pertuduhan terhadap Mohammad Zyed.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang ejen JKDM iaitu Penguasa Kastam gred WK41 yang bertugas di JKDM KLIA telah secara rasuah menerima suapan iaitu wang tunai berjumlah antara RM200 hingga RM5,000 daripada pemilik syarikat terbabit.

Wang tersebut diterima melalui pemindahan dalam talian daripada akaun syarikat itu ke akaun bank milik tertuduh.

Ia sebagai dorongan kepada tertuduh untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak memeriksa lori-lori milik syarikat terbabit yang membawa keluar barang dari KLIA.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Nilai pada 16 September 2017 hingga 16 Januari 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI