USAHA memupuk amalan menjaga kelestarian alam sekitar merupakan langkah yang perlu dilakukan secara berterusan dan diterapkan dalam pelbagai sektor serta bidang.
Tidak terkecuali dalam bidang sukan bola sepak yang mempunyai pengaruh kuat dan luas terutama dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menggabungkan arena bola sepak dengan kesedaran menjaga alam sekitar, saluran sukan, Astro Arena dan Astro Kasih menganjurkan kempen Demi Rimba Kita yang diadakan di Taman Tugu Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith, program ini dianjurkan bagi memupuk amalan menjaga kelestarian alam sekitar selain sebagai pemanas badan untuk saingan Liga Malaysia 2024.
“Program ini melibatkan seramai 35 peserta daripada hos, pakar bola sepak Astro serta rakan media yang bersama-sama melakukan aktiviti merentas hutan dan lain-lain berkaitan alam sekitar di Taman Tugu Negara.
“Setiap aktiviti dirangka bagi memastikan Taman Tugu Negara sentiasa diselenggara dengan baik selain memupuk rasa cinta terhadap alam sekitar serta sebagai sambutan saingan Liga Malaysia tahun ini,” katanya ketika ditemu bual K2 di taman tersebut baru-baru ini.
Tambahnya, pada program berkenaan juga sebanyak 27 batang pokok telah ditanam sebagai simbolik dengan aktiviti melestarikan alam sekitar.

Selain melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik semasa merentas hutan, Astro turut mengambil peluang untuk memberi sumbangan kepada Taman Tugu Malaysia dalam membantu memastikan taman tersebut sentiasa diselenggara dengan baik dan kemudahannya dapat digunakan oleh orang awam.
Kongsinya lagi, usaha yang dijalankan juga merupakan langkah bagi memberi kesedaran dan memupuk minat orang ramai untuk meneroka alam sekitar dengan melakukan aktiviti yang menyeronokkan.
Inisiatif ini juga merupakan kesinambungan langkah Astro untuk melestarikan alam sekitar yang merupakan usaha berterusan pihaknya.
“Sebelum ini, Astro juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia sebagai inisiatif memelihara dan memulihara kawasan hijau.
“Kami membantu menyampaikan mesej perubahan iklim, membina kesedaran tentang perubahan iklim serta membina kesedaran tentang perkara yang perlu kita lakukan untuk melindungi alam sekitar,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kedudukan unik Astro sebagai syarikat kandungan dan hiburan mampu memanfaatkan platform dan kandungan yang meluas untuk memperkukuh kesedaran alam sekitar.
Selain itu katanya, pihaknya juga mahu memberi inspirasi, mempengaruhi dan merangsang perubahan di masa hadapan ke arah dunia yang lebih hijau.
“Astro bekerjasama dengan beberapa badan organisasi termasuk Taman Tugu Malaysia, UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) dan banyak lagi untuk melaksanakan perubahan positif ke arah advokasi alam sekitar.
“Kami juga yakin bahawa kempen di bawah inisiatif Astro ini berupaya memperkuat semangat kepentingan serta tanggungjawab bersama menuju masa depan yang mampan,” kongsinya lagi.














