PERKEMBANGAN industri sukan di Arab Saudi dilihat semakin rancak dalam usaha mereka menjadikannya sebagai salah satu jajaran baharu menggantikan kebergantungan terhadap penjanaan ekonomi menerusi petroleum.
Selepas menimbulkan polemik dalam sukan golf menerusi pengenalan penganjuran kejohanan baharu, iaitu Liv Golf hingga mewujudkan perseteruan dengan PGA Tour, kali ini mereka beralih ke dunia bola sepak.
Bermula dengan penghijrahan bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo yang menyertai Al Nassr pada Januari lalu, Arab Saudi tidak mahu menunggu lama untuk memastikan proses ‘penyegaran’ bola sepak di negara itu terus berjalan dengan sempurna.
Jendela perpindahan kali ini menyaksikan kelab-kelab dari Arab Saudi seperti Al Ittihad, Al Ahli, Al Hilal bersaing sengit memancing pemain-pemain berprofil tinggi dari Eropah.
Sejak hampir dua dekad lalu, tidak banyak pemain bekelas dunia yang memilih Asia sebagai destinasi karier mereka kecuali Rivaldo yang menyertai Bunyodkor di Uzbekistan, Alessandro Del Piero ke Sydney FC, Xavi bersama Al Sadd (Qatar) dan Andres Iniesta memilih Vissel Kobe di Jepun.
Bola sepak Asia mula mendapat perhatian sekitar 2010 apabila Liga Super China melakukan kejutan apabila kelab-kelab mereka mampu membawa masuk para pemain seperti Oscar, Hulk dan Carlos Tevez.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu yang dipelopori oleh Arab Saudi ketika ini bakal menyaksikan peminat bola sepak, khususnya di Asia akan melalui pengalaman baharu yang tidak pernah disaksikan sebelum ini dengan jangkaan kehadiran berbondong-bondong lagi pemain handalan dunia.
Al Ittihad yang merupakan juara Liga Profesional Arab Saudi (SPL) musim ini mengesahkan mereka berjaya mendapatkan tandatangan penggempur sensasi Real Madrid, Karim Benzema serta dalam usaha mendapatkan khidmat N’Golo Kante.
Juara Divisyen 1 mereka, Al Ahli yang bakal beraksi dalam saingan utama musim depan pula mendedahkan, delegasi kelab berkenaan sudah berada di London untuk mengadakan rundingan bersama pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez serta beberapa lagi pemain dari Liga Perdana Inggeris.
Apa yang berlaku di China dan Arab Saudi ketika ini terdapat perbezaan apabila kelab-kelab di Liga Super China kebanyakannya ditaja oleh syarikat-syarikat hartanah serta industri dan ia menjadi perlahan selepas Parti Komunis China yang memerintah negara itu memperkenalkan langkah penjimatan.
Berbeza di Arab Saudi, Putera Mahkota Mohamad bin Salman telah menggariskan mengenai visi baharu sukan di negara berkenaan terutama dalam bola sepak dengan memberikan sokongan kewangan yang menyaksikan perolehan tahunan SPL meningkat dari RM553.68 juta kepada RM2.2 bilion.
Secara signifikan, pembaharuan yang dilakukan pemerintah Arab Saudi terhadap perkembangan bola sepak negara itu dikaitkan dengan keinginan mereka untuk mendapatkan hak penganjuran saingan Piala Dunia 2030.














