fbpx
Isytihar diri sebagai muflis menjadi ‘jalan keluar’ sementara selepas tidak mampu membayar hutang bank.

Ramai peniaga lebih rela muflis elak dikacau bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Biarpun pandemik Covid-19 telah berakhir, namun ramai usahawan dan ahli perniagaan masih bergelut dengan beban kewangan sehingga terpaksa menanggung hutang mencecah jutaan ringgit.

Lebih teruk lagi, ada dalam kalangan mereka sanggup ‘menyerah diri’ untuk diisytihar muflis kerana sudah tidak mampu lagi membayar hutang keliling pinggang selepas melelong aset termasuk kenderaan.

Bagi mereka, itu merupakan langkah terakhir yang harus diambil selepas usaha lain selama bertahun lamanya menemui jalan buntu.

Seorang bekas ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Amran, 44, berkata, dia terlibat dalam dunia perniagaan francais makanan sejak 2004 dan sudah mengecapi banyak kejayaan termasuk menerima anugerah ke­usahawan.

“Saya membuka perniagaan ini dengan membuat pinjaman bank. Selama 10 tahun meminjam saya tidak pernah berdepan masalah, jadi saya menyertai program francais.

“Untuk mengembangkan bisnes di negeri lain, saya membuat pinjaman bank sebanyak RM4 juta dan diluluskan, namun pandemik Covdi-19 ‘melenyapkan’ bisnes saya dalam sekelip mata,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut Amran, sepanjang virus Covid-19 menggila, kesemua 17 restoran termasuk di Sela­ngor, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu tidak dapat ber­operasi dan dia perlu menanggung kos operasi hampir RM1 juta setipa bulan.

Jelas lelaki itu, dalam tempoh tersebut, dia tidak mampu membayar gaji pekerja, penginapan, sewa bangunan sehingga terpaksa menutup operasi bagi kesemua restorannya.

“Sudahlah tiada pendapatan, saya perlu menanggung hutang beberapa agensi kerajaan berjumlah RM80,000 sebulan atau RM4 juta keseluruhannya. Sehingga hari ini saya tak mampu membayarnya.

“Setiap hari saya menerima panggilan daripada pihak bank, malah sudah menerima surat tindakan mahkamah baru-baru ini,” katanya.

Dalam usaha mengurangkan beban hutang, Amran menyerah­kan semula enam buah kereta buatan Eropah kepada pihak bank dan kini sedang mempertimbangkan untuk menyerah diri kepada pihak berkaitan.

Sementara itu, peniaga pro­duk makanan yang dikenali mahu sebagai Iskandar, 48, pula memberitahu, dia jatuh miskin selepas terpaksa menutup perniagaannya pada tahun lalu.

“Saya membuat pinjaman dengan dua agensi kerajaan berjumlah RM3 juta, namun akhir­nya terpaksa membayar hutang berjumlah RM60,000 sebulan dalam tempoh 10 tahun.

“Saya buat pinjaman tersebut kerana sebelum ini produk makanan saya mendapat sambutan hebat, namun percaturan saya silap selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

“Saya sudah mencuba pelbagai cara untuk bangkit dalam perniagaan, namun tidak berha­sil. Hutang bank juga sudah tidak mampu bayar,” katanya.
Iskandar berkata, melihat si­tuasi itu, dia terfikir untuk mengisytiharkan dirinya muflis bagi mengelak agar terus ditekan oleh institusi kewangan

“Sebagai orang Islam, saya tahu hutang wajib dibayar, namun saya tidak nampak jalannya. Mungkin cara ini (muflis) boleh membuatkan saya tenang untuk sementara waktu,” katanya.

Seorang lagi peniaga syarikat pencetakan, Mukhsin, 38, berkata, dia terikat dengan hutang bank berjumlah RM100,000 selepas premisnya ditutup dua tahun lalu.

“Semua sektor ketika ini dikendalikan secara dalam ta­lian, jadi perniagaan pencetakan turut menerima tempiasnya selain banyak persaingan menyebabkan harga rendah.

“Saya terpaksa memberhentikan lebih 30 pekerja secara berperingkat apabila tidak dapat meneruskan perniagaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN