fbpx

Mahkamah: Jabatan Peguam teliti representasi baharu Rizal Crackhouse

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Jabatan Peguam Negara (AGC) masih meneliti representasi terbaharu yang dikemukakan oleh pengasas dan pemilik bersama Kelab Komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel untuk mengkaji tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memaklumkan, representasi ketiga itu diterima pada 7 Jun lalu dan masih dalam peringkat penelitian.

Sehubungan itu, beliau memohon satu tarikh sebutan lain ditetapkan bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan representasi tersebut.

“Pihak pendakwaan masih meneliti representasi yang diterima pada 7 Jun lalu dan setakat ini tiada keputusan,” ujarnya.

Sementara itu, peguam M. Pravin yang mewakili Mohamad Rizal mengesahkan pihaknya bersetuju dengan tarikh sebutan yang dipohon oleh pendakwaan.

Sehubungan itu, Hakim N. Priscilla Hemamalini menetapkan 26 Jun ini bagi sebutan kes untuk perkembangan representasi.

Pada 31 Mei lalu, mahkamah diberitahu, AGC menolak representasi kedua Mohamad Rizal untuk menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.

Pada 20 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan representasi pertamanya ditolak dan tertuduh akan memfailkan representasi kedua mengandungi perkembangan baharu yang sangat penting dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Mengikut tiga pertuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ di antara 4 dan 6 Julai 2022.

Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai 2022.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI