LIPIS – “Selalu masuk rumah mak ada, apa perasaan kalau kau masuk (rumah) mak tak ada.” Itu pertanyaan Allahyarham Salinda Musni Salehan, 57, beberapa bulan sebelum berangkat menunaikan haji yang tidak dapat dilupakan anaknya.
Allahyarham meninggal dunia di Tanah Suci akibat kegagalan jantung ketika berada di Makkah pada 4 Jun lalu. Salinda tiba melalui penerbangan KT05 di Madinah pada 22 Mei lalu bersama suaminya, Md. Amin Ithnin, 61.
Salinda meninggal dunia pada pukul 11.50 malam dan jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee.
Anak Salinda, Siti Nur Fatihah Md. Amin, 26, berkata, kata-kata berkenaan diungkapkan ibunya selepas wanita itu pulang daripada menerima rawatan di hospital beberapa bulan lalu sentiasa terngiang di fikirannya, akhirnya menjadi kenyataan.
“Mak bertanya apa perasaan saya bila masuk rumah tengok mak tak ada dan saya tanya kenapa cakap macam tu.
“Saya beritahu mak, tidak perlu cakap macam itu, doa sahajalah yang baik-baik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Sungai Koyan di sini semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga termasuk abang, kakak serta neneknya reda dengan ketentuan Ilahi ibunya pergi ketika menunaikan haji di Makkah.
Katanya, sebelum ini ibunya telah dua kali mendapat tawaran mengerjakan haji tetapi tidak kesampaian akibat wabak Covid-19 pada 2020 dan sekali lagi terpaksa menolak tawaran pada 2021 kerana masalah kesihatan.
Katanya, pada tahun ini ibunya sekali lagi menerima tawaran dan doktor mengesahkan wanita itu boleh menunaikan haji berikutan keadaan kesihatan bertambah baik.
Sementara itu, ibu kepada allahyarham Musriah Tarmen, 76, berkata, dia masih tidak dapat melupakan saat anaknya tidak mahu melepaskan tangannya ketika bersalaman sewaktu di lapangan terbang.
“Lama dia pegang tangan saya, pandang saya, tergerak hati kenapa anak pandang saya macam ini kan tetapi saya diamlah, kalau kata apa nanti lagi sedih.
“Bukan senang hendak dapat (meninggal dunia) di sana orang kata, tetapi kita yang di sini terasa, dapat doalah,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Allahyarham berada di Madinah bersama suaminya selama enam hari sebelum bertolak ke Makkah.
“Suaminya menerima dan reda dengan apa yang berlaku dan dia tidak lagi memerlukan bimbingan kaunseling. Kita telah membuat majlis tahlil untuk arwah di maktab dan akan melakukan badal haji untuknya,” katanya semalam.
Katanya, setakat ini seramai 47 jemaah haji Malaysia dimasukkan ke wad termasuk 10 di hospital Arab Saudi akibat masalah pernafasan, jangkitan paru-paru, jantung, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.
“Ketika ini seramai 22,800 jemaah sudah berada di Makkah. Baki 23 penerbangan lagi akan terus mendarat di Jeddah sebelum masuk ke sini,” katanya.














