fbpx

Jemaah haji sakit jantung meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. – AFP

MEKAH – Seorang jemaah haji wanita disahkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi jantung ketika mendapatkan rawatan di jabatan kecemasan Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di sini pada 4 Jun lalu.

Wanita berusia 57 tahun dari Raub, Pahang tersebut meninggal dunia pada pukul 11.50 malam selepas dikejarkan ke situ dua jam sebelum itu. Jenazah disembahyangkan di Masjidilharam selepas solat zuhur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syariee.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Allahyarham tiba melalui penerbangan KT05 di Madinah pada 22 Mei lalu bersama suaminya.

“Arwah berada di sana selama enam hari sebelum bertolak ke Mekah. Pihak kaunselor telah melakukan lawatan sebanyak dua kali kepada suaminya bagi memberi sokongan.

“Suaminya menerima dan reda dengan apa yang berlaku dan dia tidak lagi memerlukan bimbingan kaunseling. Kita telah membuat majlis tahlil untuk arwah di maktab dan akan melakukan badal haji untuknya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Syed Saleh, kakitangan TH Pahang telah melakukan ziarah ke atas keluarga arwah di Raub dan pihaknya sedang mengumpulkan data untuk mengetahui sejarah kesihatan Allahyarham.

Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, setakat ini seramai 47 jemaah haji Malaysia dimasukkan ke wad termasuk 10 di hospital Arab Saudi akibat masalah pernafasan, jangkitan paru-paru, jantung, gangguan emosi, sakit kulit, sakit otot dan sendi.

Katanya, kesemua mereka berada dalam keadaan stabil dan ada yang sudah dibenarkan keluar wad dan pulang ke maktab selepas menerima rawatan di hospital Arab Saudi.

“Ketika ini seramai 22,800 atau 72 peratus jemaah melalui 75 penerbangan sudah berada di Mekah dengan kumpulan terakhir berlepas petang tadi (semalam) dari Madinah ke Mekah. Baki 23 penerbangan lagi akan terus mendarat di Jeddah sebelum masuk ke sini,” katanya.

Syed Saleh turut mengingatkan jemaah supaya menjaga kesihatan dengan meminum air yang secukupnya, menjaga kesihatan dan tidak terdedah kepada panas dalam tempoh lama ekoran keadaan cuaca yang mencecah 45 darjah Celsius.

“Jemaah juga dinasihatkan supaya mengikuti aktiviti dan program dianjurkan TH supaya mereka bersedia menghadapi masyair dengan membaca al-Quran, berdoa, zikir dan bermunajat apabila berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI