fbpx

11 scammer termasuk remaja bawah umur, nafi songlap RM45,534

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 11 tertuduh termasuk dua beradik dan remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seramai 11 individu termasuk dua beradik dan remaja bawah umur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu tujuh individu membabitkan kerugian sebanyak RM45,534.74, sejak April lalu.

Tertuduh ialah Muhammad Ikmal Rizal Hamdan, 22 dan adiknya Muhamad Haiqal Hamdan, 19; Yap Soon Lin, 23; Muhamad Faizal Abdullah, 22; Sharifah Nur Natasha Syed Mohd. Hata, 21; Yap Zhen Xiang, 19; Teong Wai Keat, 19; Goh Chun Rong, 19; Lee Yih Hong, 18, dan dua remaja masing-masing seorang perempuan dan lelaki berusia 17 tahun.

Kesemua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tujuh pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa adalah pihak kepada pakat jahat jenayah telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang dengan memperdayakan tujuh individu sehingga mangsa menyerahkan wang bernilai keseluruhan  RM45,534.74.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Taman Cheng Perdana dalam daerah Melaka Tengah sejak 11 April sehingga 20 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120(B)(1) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasaruddin mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Joel Chua yang mewakili semua tertuduh meminta jaminan rendah diberikan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM26,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 31 Julai depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI