fbpx

Pejalan kaki maut digilis bas ekspres ketika melintas lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan terbabit.

SEREMBAN – Seorang lelaki warganegara Myanmar maut digilis sebuah bas ekspres ketika sedang melintas lebuh raya dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 263.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa seorang lelaki berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seluruh badan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat digilis sejauh 20 meter.

Arifai berkata, kemalangan lebih kurang pukul 9.20 malam semalam melibatkan dua buah kereta, sebuah bas ekspres dan seorang pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Altis yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 42 tahun sedang bergerak di lorong paling kanan lebuh raya dari arah Rembau menuju ke arah Setia Alam dan apabila tiba di lokasi kejadian, telah datang seorang pejalan kaki yang merupakan lelaki warganegara Myanmar berusia 24 tahun melintas lebuh raya dari arah bahu kiri menuju ke tembok tengah pembahagi lebuh raya di hadapan kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, kereta tersebut cuba menekan brek namun terlanggar mangsa pejalan kaki sebelum tercampak ke lorong tengah lebuh raya.

“Kemudian, datang sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun berada di lorong tengah dari arah sama telah membrek dan mengubah haluan ke lorong kiri untuk mengelak mangsa, namun telah dilanggar pula dari arah belakang oleh sebuah bas ekspres yang membawa 44 orang penumpang.

“Impak pelanggaran telah menyebabkan bas terlibat hilang kawalan lalu menggilis mangsa pejalan kaki sejauh lebih kurang 20 meter di lokasi kejadian. Bagaimanapun, kesemua pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan atau mengenali mangsa bernama Nay Than Soe boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau 06-6033222 serta boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI