fbpx

K2

Bukan mudah kail belut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Luqmanul HAKIM menunjukkan belut yang berjaya dikailnya di sawah Kampung Tempoyak, Bachok baru-baru ini.

BELUT kebiasaannya ditangkap menggunakan tukir diperbuat daripada batang paip polivinil klorida (PVC) atau buluh yang diletakkan di kawasan sawah atau tali air.

Tukir yang berperanan seperti bubu ditinggalkan di kawasan terbabit sebelum pencari belut datang dan mengambil hasil tangkapan yang masuk ke dalam alat itu keesokan harinya.

Berbeza pula caranya dengan seorang pemuda dari Bachok, Kelantan, Luqmanul Hakim Azhar, 23.

Dia tidak menggunakan tukir untuk menangkap belut apabila memilih kaedah mengail haiwan tersebut menggunakan tali tangsi dan mata kail.

Meskipun berdepan risiko ketika meredah semak di kawasan sawah, Luqmanul Hakim tidak menganggap kaedah itu sebagai halangan untuk menangkap belut yang dianggap sebagai hobinya semasa waktu lapang.

Dia perlu sentiasa berwaspada dengan kehadiran ular tedung selar dan ular senduk yang sering bersarang di sekitar kawasan yang menjadi habitat katak atau belut.

Menurut anak jati Kampung Permatang Pasir, Jelawat, Bachok itu, ular lazimnya memburu katak yang besar sebagai habuannya, manakala belut pula memilih anak-anak katak untuk dijadikan makanan.

Luqmanul Hakim memasukkan mata kail untuk mengail belut ke dalam lubang di kawasan sawah Kampung Tempoyak, Bachok baru-baru ini. – TOREK SULONG

“Mengail belut lebih menyeronokkan berbanding menangkap haiwan itu menggunakan tukir di sawah.

“Saya hanya perlu membawa seutas tali tangsi yang siap disulam dengan mata kail khas tanpa perlu membawa tukir yang dibuat daripada batang paip PVC atau buluh duri.

“Peralatan utama saya ialah tangsi nombor 10 sepanjang 20 sentimeter atau setengah depa yang siap dipintal dan diikat pada mata kail khusus untuk memancing belut.

“Ceracak pada mata kail perlu dibuang dengan menggunakan kikir dan dibentuk semula bagi memastikan belut tidak mengalami luka parah selepas dipancing,” katanya ketika ditemui di bendang Kampung Tempoyak, Jelawat, Bachok baru-baru ini.

Luqmanul Hakim memberitahu, mata kail nombor empat dan umpan cacing gelang perlu dibawa sebelum menelusuri lubang yang menjadi habitat belut.

Katanya, anak katak hidup merupakan makanan kegemaran belut, namun dia lebih memilih untuk menggunakan cacing gelang yang dibeli di kedai ikan sebagai umpan.

“Umpan cacing agak sukar untuk dicari berikutan cuaca panas ketika ini. Jadi, saya membelinya di kedai ikan pada harga RM3 untuk satu beg plastik kecil yang mengandungi lebih 10 ekor cacing.

“Saya hanya akan memasukkan tali tangsi pada lubang yang bersih dan berair kerana kawasan itu kebiasaannya menjadi habitat belut pelbagai saiz,” katanya.

Menurut Luqmanul Hakim, mata kail yang diletakkan umpan perlu dimasukkan kira-kira tiga jengkal ke dalam lubang dan menunggu beberapa minit untuk mendapat tindak balas sama ada terdapat tarikan atau sebaliknya.

Katanya, tidak semua lubang di sawah menjadi lubuk belut kerana ada lubang yang merupakan persinggahan haiwan lain termasuk ular gerek atau ular air.

“Waktu paling sesuai memancing belut adalah pada waktu senja dan malam kerana haiwan tersebut aktif mencari makanan ketika itu.

“Saya menjelajah ke semua kawasan sawah tinggal dan tali air untuk menjejaki lubang yang menjadi habitat belut. Saya amat berpuas hati sekiranya dapat memancing belut pisang yang beratnya mencecah satu kilogram untuk seekor,” katanya.

Luqmanul Hakim berkata, kebiasaannya, dia akan mendapat sebanyak lima hingga 10 ekor belut setiap kali sesi mencari haiwan itu di kawasan sawah dalam tempoh satu jam.

Menurutnya, dia pernah bertembung dengan ular senduk yang agresif, namun keadaan itu tidak melunturkan semangatnya untuk terus mencari belut.

“Nikmat dan kepuasan mengail belut berbeza dengan memancing ikan di sungai, pantai atau di tengah laut.

“Pemancing belut perlu memakai kasut but dan pakaian yang sesuai termasuk sarung tangan kerana aktiviti ini dilakukan di kawasan semak, berlumpur selain lokasi yang penuh dengan pacat.

“Permintaan terhadap belut amat tinggi dan harganya boleh mencecah RM30 sekilogram bergantung kepada gred, jenis dan saiz,” katanya.

Luqmanul Hakim memberitahu, hobi mengail belut tidak memerlukan modal yang besar, tetapi hasilnya agak lumayan sekiranya haiwan tersebut dijual kepada pemborong atau para pengusaha restoran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI