fbpx

Falcao semakin hampir sertai JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUNKU ISMAIL menerima jersi Colombia daripada Falcao yang sudah berada di Johor Bahru.

PENYERANG antarabangsa Co­lombia, Radamel Falcao dilaporkan sudah berada di Johor Bahru, sekali gus menguatkan lagi spekulasi bakal bermain dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) apabila jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Kehadiran Falcao telah dikongsikan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagramnya dan memberi ‘bayangan’ bahawa pemain berusia 37 tahun itu akan menyarung jersi Harimau Selatan nanti.

Menerusi hantaran Instagram tersebut, Tunkul Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah menerima jersi pasukan Colombia ditandatangani oleh Falcao.

“El Tigre (Falcao) In the house (berada di sini),” tulis Tunku Ismail menerusi hantaran yang dimuat naik awal pagi semalam.

Sebagai rekod, media dari Sepanyol awal tahun ini mendedahkan Tunku Ismail berusaha untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano berakhir hujung bulan ini.

Menurut laporan itu, JDT difahamkan tidak mempunyai masalah untuk menawarkan kontrak sehingga tahun 2025 kepada Falcao.

Malah, selepas kontraknya sebagai pemain berakhir di JDT, Falcao akan terus diberi tugas menjadi sebahagian daripada pengurusan skuad Harimau Selatan dengan menjadi duta kelab JDT di peringkat antarabangsa.

Falcao dianggap salah seorang penyerang berkelas dunia selepas mewakili beberapa kelab utama seperti River Plate, Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, United, Chelsea dan Galatasaray.

JDT yang dikendalikan oleh Esteban Solari pula sudah memiliki lapan pemain import musim ini terdiri daripada Jordi Amat, Bergson Da Silva, Leandro Velazquez, Diego Luis Santo, Shane Lowry, Juan Muniz, Oscar Arribas dan Fernando Forestieri.

Jendela perpindahan Liga Malaysia pula akan kembali dibuka bermula 5 Julai hingga 1 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI