fbpx

TDM fokus terokai perkhidmatan pelancongan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Farok Hussin (empat dari kiri) menunjukkan buku laporan tahunan TDM pada Mesyuarat Agung TDM ke-58 di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kumpulan TDM Berhad akan memberi fokus memperkasa perkhidmatan pelancongan kesihatan di rangkaian pusat perubatan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu itu di seluruh negara.

Pengerusi TDM, Tengku Datuk Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, ia merupakan strategi bagi meningkatkan pendapatan segmen penjagaan kesihatan TDM dalam tempoh lima tahun.

“Buat permulaan, kita akan bermula di Pusat Perubatan KMI Tawau, Sabah kerana lokasinya berhampiran dengan negara jiran (Indonesia).

“Kita menyasar perkhidmatan pelancongan kesihatan tersebut dapat dimulakan di Pusat Perubatan KMI Tawau pada suku keempat 2024,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-58 di sini hari ini.

Kumpulan TDM turut mempunyai empat pusat perubatan lain iaitu KMI Kelana Jaya, Selangor; KMI Kuantan, Pahang; KMI Kuala Terengganu di sini dan KMI Taman Desa, Kuala Lumpur.

Tengku Farok Hussin berkata, fasiliti Pusat Perubatan KMI Tawau kini sedang dipertingkatkan termasuk penambahan kapasiti kepada 52 katil sebagai persediaan penyediaan perkhidmatan pelancongan kesihatan.

Tambah beliau, TDM juga berhasrat meningkatkan kualiti penjagaan pesakit dengan menawarkan lebih banyak sub-kepakaran.

“Bagi segmen perladangan pula, TDM akan terus mengutamakan rasionalisasi kos bagi mengurangkan kesan turun naik harga minyak.

“TDM juga bersedia untuk memulakan program penanaman semula bagi menambah baik profil umur pokok dengan menyasarkan 1,977 hektar tanah pada tahun kewangan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Farok Hussin berkata, TDM menyasar hasil RM620 juta pada tahun ini iaitu peningkatan berbanding RM614.4 juta pada tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI