fbpx

5 teras strategik lonjak Malaysia teraju ekonomi hidrogen 2050

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (dua, kanan) ketika melawat pameran yang terdapat di Pusat Sains Negara ketika menghadiri Mesyuarat NSC, di Pusat Sains Negara, di sini hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lima teras strategik telah digariskan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang tahun 2050.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi kenyataannya berkata, Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang pertama bagi tahun 2023, bersetuju dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

“HETR ini menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 di bawah Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

“Ia secara strategik akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan global yang sangat menguntungkan kerana pasaran global bagi hidrogen hijau diunjurkan mencapai USD189.19 bilion pada tahun 2050.

“Daripada jumlah ini, sebanyak USD81.12 bilion (43 peratus) nilai pasaran adalah di rantau Asia Pasifik, diikuti ASEAN sebanyak USD25.81 bilion (13 peratus) dan Malaysia pada USD3.1bilion (2 peratus),” katanya.

Kenyataan Anwar itu dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Chang Lih Kang, selepas selesai Mesyuarat NSC, di Pusat Sains Negara, di sini hari ini, yang turut dihadiri beliau sebelumnya.

Mesyuarat NSC itu turut membincangkan usaha kerajaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) dan bersetuju agar langkah untuk meningkatkan pelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dipergiatkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, menjelang tahun 2030, diunjurkan antara 0.4 peratus hingga 1.3 peratus pengurangan Gas Rumah Hijau (GHG) dapat dicapai bergantung kepada model pelaksanaan yang dicadangkan dalam HETR.

“Selain itu, penjanaan pendapatan sehingga RM12.1 bilion dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara antara RM49 bilion dan RM61 bilion dijangkakan pada tahun 2030, di samping penjanaan peluang pekerjaan sehingga 45,000 menjelang tahun 2030.

“Ekosistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi merancakkan pembangunan keupayaan industri, serta menerusi penglibatan aktif pihak swasta dan para akademia,” jelasnya.

Jelasnya lagi, Majlis Sains Negara juga mengambil maklum mengenai kepentingan Akta Lembaga Angkasa Malaysia (Akta 834) dan penubuhan Bahagian Penguasa Angkasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI