fbpx

Bekalan gula di 4 negeri mencukupi, stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Bekalan gula di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah tidak menunjukkan sebarang masalah bekalan yang kritikal, malah mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan oleh Pasukan Petugas Khas di bawah OPS Manis sejak dilancarkan pada 3 Mei lalu.

Menurutnya, sebanyak 2,576 premis perniagaan diperiksa oleh anggota penguat kuasa dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula diterima dalam operasi yang berlangsung sehingga 4 Jun itu.

“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, terdapat tujuh tindakan kes telah diambil. Bagaimanapun, pihak KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan akan mengambil tindakan.

“Ia bagi membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir.

“Ops Manis akan diteruskan dengan Ops Manis 2.0 sehingga 30 Jun depan di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula adalah stabil bagi kegunaan rakyat,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Tambahnya, KPDN telah memutuskan mana-mana pihak yang melakukan tiga kesalahan berikut akan digantung lesen untuk siasatan dan jika terbukti kesalahan akan dibatalkan lesen dan disenarai hitamkan.

“Kesalahan itu meliputi menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat dengan barangan lain serta termasuk dengan gula jernih, menyorok bekalan dan menjual melebihi harga kawalan,” ujarnya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan melalui KPDN mengeluarkan arahan pengawal bekalan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan bersabit had jumlah pengeluaran dan edaran gula pasir putih bertapis kasar dan halus pek satu kilogram (kg) dan dua kg terhadap dua syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR).

Jelasnya, jumlah minimum pengeluaran dan edaran bulanan gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kg dan dua kg yang ditetapkan kepada MSM adalah sebanyak 24,000 tan metrik (TM) manakala CSR sebanyak 18,000TM.

“Arahan ini juga dikeluarkan kepada pemborong utama kedua-dua syarikat pengeluar gula tempatan tersebut bagi memastikan gula pasir putih bertapis kasar dan halus yang diterima diedarkan segera kepada pelanggan.

“Pemantauan holistik dan terperinci dilaksanakan bagi memastikan keberadaan bekalan gula sentiasa stabil di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, kedudukan jumlah pengedaran gula berdasarkan pemantauan pada bulan Mei ke atas syarikat MSM adalah sebanyak 28,243TM bagi gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kg dan dua kg serta 772TM bagi gula jernih.

“Bagi syarikat CSR pula mengedarkan sebanyak 16,546TM gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kg dan dua kg,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI