PETALING JAYA – Keinginan orang ramai terutama golongan bujang untuk memilih pasangan hidup kini semakin mudah dengan kewujudan pelbagai aplikasi di media sosial yang menawarkan platform mencari jodoh.
Antara yang mencuri tumpuan dan menjadi trend dalam kalangan orang muda ketika ini adalah menerusi aplikasi TikTok yang membolehkan seseorang yang kesunyian untuk mencari pasangan atau jodoh mengikut kemahuan masing-masing.
Berbeza dengan platform lain yang dilakukan secara ‘tertutup’, penganjur pencarian jodoh di TikTok hanya perlu tampil secara live dan bertindak sebagai host bagi memberi ruang kepada pengikutnya untuk memilih pasangan masing-masing berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan.
Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, salah satu syarat yang perlu ada sebelum menjadi host pencarian jodoh itu ialah pengguna perlu mempunyai jumlah pengikut di TikTok melebihi 1,000 orang.
Ibarat seperti acara lelongan barang di pasar malam, jika terdapat pengikut acara live yang ingin mencari jodoh, dia perlu menyatakan ciri-ciri pasangan yang dikehendakinya.
Sesi temu duga akan dijalankan oleh host terlebih dahulu dengan bertanyakan beberapa soalan asas seperti pekerjaan, tempat tinggal dan asal dari mana, minat, ketinggian serta warna kulit pasangan yang diingini.
Selepas ciri-ciri tersebut dibaca oleh host acara tersebut, jika ada pengikut lain yang merasakan mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan, maka dia berhak untuk menawarkan dirinya dalam acara live tersebut.
Jika pasangan itu mempunyai kesemua yang dimahukan, maka mereka boleh berkenalan secara lebih rapat di dunia nyata menerusi perkongsian nombor telefon dan sebagainya.
Salah seorang peserta acara tersebut yang menggunakan akaun TikTok @EliasBasir berkata, kaedah tersebut merupakan salah satu cara paling mudah untuk mencari jodoh.
Jelas duda berusia 34 tahun itu lagi, kaedah tersebut antara lain boleh mengelakkan daripada sebarang unsur penipuan ketika sesi mencari jodoh kerana foto atau video yang dipaparkan dalam TikTok masing-masing adalah asli.
“Salah satu syaratnya adalah gambar profil dan video-video pendek dalam akaun TikTok kita adalah asli dan tidak menggunakan gambar atau video orang lain.
“Dari situ kita dapat tahu wajah serta status pasangan yang kita cari secara tepat.
“Selain itu, peserta harus bersikap jujur mengenai ciri pasangan yang diidamkan secara live dan jika ada yang berkenan, maka mereka boleh memperkenalkan diri masing-masing,” katanya yang bertugas sebagai penjawat awam.
Katanya, antara laman sosial ‘room cari jodoh’ yang pernah diikuti dan paling dipercayai adalah Hi Cupid dan Mafa Cupid.
Tambahnya, dia ketika ini sedang mengenali seorang wanita yang bertugas sebagai jururawat melalui salah satu live TikTok dan mengakui semakin rapat dengan individu tersebut.
“Kami sedang dalam proses mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu sebelum langkah untuk berjumpa secara berdepan dibuat selepas ini.
“Harap wanita tersebut adalah jodoh terbaik buat saya selepas saya mengalami kegagalan dalam rumah tangga dua tahun lalu,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang eksekutif wanita yang mahu dikenali sebagai Sasha, 37, mengakui, dia baru berjinak-jinak untuk mencari jodoh melalui media sosial terutama di TikTok selepas gagal dalam percintaan sebelum ini.
Katanya, lelaki yang dikenali sebelum ini merupakan bekas rakan sekolahnya dan mereka telah menjalin hubungan cinta selama empat tahun, namun berakhir dengan perpisahan akibat masalah peribadi.
“Rasanya, saya perlu terbuka dalam mencari jodoh dan percaya kepada takdir hidup. Mungkin pasangan yang dicari itu ada dalam kalangan pengikut saya di TikTok.
“Cari jodoh di TikTok perlukan kesabaran. Sebelum ini, saya sudah beberapa kali menawarkan diri untuk mencari pasangan di aplikasi ini, tetapi sehingga kini belum ada yang berkenan.
“Saya hanya perlukan lelaki yang jujur dan berani untuk meluahkan perasaan mereka.
“Paling penting adalah sesi bertemu empat mata selepas ini kerana saya ingin mencari pasangan yang bertanggungjawab,” ujarnya.














