fbpx

Lelaki pengsan sebelum maut ketika daki Gunung Lambak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang memberikan bantuan awal rawatan kepada Wei Peng dibawa turun ke kaki Gunung Lambak, Kluang.

KLUANG – Seorang lelaki meninggal dunia selepas pengsan pada paras ketinggian 800 meter di atas Gunung Lambak ketika melakukan aktiviti mendaki bersama isterinya pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9 pagi melibatkan mangsa, Tew (Teo) Wei Peng, 50, yang ditemani oleh isterinya, Ko Meh Cheng, 50.

Katanya, pada awal kejadian, isterinya melaporkan kepada pihak polis apabila mangsa secara tiba-tiba pengsan ketika bersama-sama mendaki gunung berkenaan.

“Menurut isteri mangsa, dalam perjalanan mendaki pada ketinggian 800 meter, si mati ada mengadu sakit dada sebelum tiba-tiba terus jatuh pengsan.

“Bantuan awal pernafasan diberikan oleh petugas hospital yang turut hadir mendaki gunung secara kebetulan berhampiran di lokasi si mati pengsan,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Bahrin lagi, mangsa  dilaporkan meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini semasa menerima rawatan dalam ambulan.

Tambahnya lagi, mangsa dikategori sebagai mati mengejut dan semakan mendapati tiada sebarang rekod kesihatan.

Terdahulu, seramai 10 anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang dikejarkan ke lokasi pada pukul 9.12 pagi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Jusoh Mohd. Salleh.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Fauzi Mohd. Nor, selepas memberikan bantuan awal pernafasan, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki Gunung Lambak kira-kira pukul 11 pagi.

Ujarnya, sebaik tiba di kaki gunung, si mati kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI