JOHOR BAHRU – Masalah kepadatan atau pertambahan jumlah penghuni pusat jagaan atau rumah orang tua masih berlarutan kerana terdapat ahli keluarga atau waris bersikap lepas tangan kerana tidak mahu menjaga ibu bapa masing-masing.
Pengasas Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin berkata, kebanyakan penghuni di tempatnya terdiri daripada warga emas yang dibuang keluarga selain uzur.
“Kami beroperasi sejak 2006 dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendapat bantuan Baitulmal. Setakat ini kami menguruskan lebih 172 penghuni berusia 40 hingga 82 tahun.
“Sebanyak 70 peratus penghuni adalah gelandangan dan mualaf. Dengan erti kata lain, mereka ‘dibuang’ atas faktor-faktor tertentu termasuk nyanyuk, ekonomi serta alasan tidak mampu menjaga orang tua.
“Apa yang menyedihkan, ada juga ahli keluarga yang sanggup lepas tangan dengan menyerahkan kepada pihak kami untuk menguruskan semuanya termasuk hal kematian.
“Ada waris yang tidak datang ziarah, jadi kamilah yang bertanggungjawab menguruskan proses pengebumian si mati,” katannya ketika dihubungi di sini semalam.
Sementara itu, Pegawai Khidmat Pusat Warga Emas Anwarul Mahabbah Care Center Johor Bahru, Norhayati Said berkata, ahli keluarga tidak mempunyai kepakaran menjaga ibu bapa yang sakit menjadi punca mereka menghantar orang tua ke pusat jagaan warga emas.
“Ada anak-anak menghantar orang tua mereka ke pusat jagaan kerana komitmen kerja. Mereka hantar bukan sebab tidak sayang, namun komitmen kerja selain tiada kepakaran hendak menguruskan ibu bapa yang sakit.
“Anak-anak tidak tahu mengendalikan ibu bapa yang nyanyuk,jadi mereka hantar ke pusat jagaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














