fbpx

Manchester City julang trofi Piala FA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ilkay Gundogan (kanan) muncul wira Manchester City apabila meledak dua gol pada aksi final sebentar tadi.

LONDON – Pasukan Manchester City menepati ramalan apabila muncul juara Piala FA musim selepas menewaskan seteru tradisi, Manchester United 2-1 pada aksi final di Stadium Wembley sebentar tadi.

Pada saingan itu, skuad The Citizens kendalian Pep Guardiola membariskan kesebelasan terbaik dengan pemain utama seperti Kevin de Bruyne, Erling Haaland dan Ilkay Gundogan memacu jentera serangan.

City hanya memerlukan masa 13 saat untuk mendahului hasil rembatan cantik dari luar kotak penalti yang dilakukan oleh Gundogan sekali gus membuat pasukan The Red Devils tergamam.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hampir menambah jaringan pada minit ke-4 tetapi tandukan yang dilakukan oleh Rodri sedikit tersasar.

Tersentak dengan asakan City, United memperkemaskan jentera serangan dan diberikan sepakan penalti oleh pengadil hasil daripada Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kesempatan tersebut disempurnakan oleh Bruno Fernandes untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-33.

Bersambung pada babak kedua, City sekali lagi meraih gol awal apabila Gundogan muncul wira apabila satu rembatan dari luar kotak penalti yang dilakukan berjaya menerjah jaring pada minit ke-51.

Pengendali United, Erik Ten Hag membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan pemain muda, Alejandro Garnacho dan Wout Weghorst dalam usaha untuk memburu gol penyamaan.

Peluang terbaik United hadir pada masa kecederaan menerusi rembatan Raphael Varane tetapi sekadar menggegar palang gol dengan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini adalah trofi Piala FA pertama buat City sejak edisi 2019 sekali gus semakin hampir merekodkan kejuaraan trebel musim ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI