fbpx

Banyak tandas sekolah rosak, murid perlu sama-sama jaga – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika hadir ke Majlis Perasmian di D'Anjung Selera Madani, di Kuala Lumpur, hari ini

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan masih terdapat banyak tandas sekolah di seluruh negara dalam keadaan rosak dan tidak terurus sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, dapatan itu diperoleh selepas pihaknya mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memeriksa keadaan tandas di sekolah di seluruh negara bagi memastikan murid mendapat kemudahan yang selesa.

Selain itu, Anwar turut meminta murid untuk bersama-sama menjaga kemudahan sekolah dengan baik dan amalan itu juga perlu dilatih supaya mereka tahu membersihkan tandas sediri selepas menggunakannya.

“Saya arahkan Menteri Pendidikan (Fadhlina) semak, dan dapati bahawa tandas di sekolah banyak yang rosak, berpuluh-tahun tidak ada siapa yang peduli.

“Sekarang saya kata bagaimana hantar anak kita ke sekolah tapi tandas pun tidak ada. Anak kita manusia bukan dewa yang tidak pergi ke tandas.

“Anak-anak (di sekolah) perlu dilatih untuk bersihkan tandas, ia mengajar mengenai kebersihan, hormat orang termasuk yang cuci tandas. Muliakan nilai manusia yang bagi sumbangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian D’Anjung Selera Madani Jalan Jujur, di sini hari ini.

Pada masa sama, Anwar juga mengimbau kenangan sewaktu memikul jawatan Menteri Pendidikan, yang mana ketika itu beliau mengarahkan pihak sekolah melakukan sistem penggiliran bagi membersihkan tandas.

Kongsinya, ketika itu terdapat ibu bapa daripada golongan profesional dan atasan menghubunginya kerana membantah tindakan terbabit dengan alasan mereka menghantar anak ke sekolah untuk belajar, bukan mencuci tandas.

“Jadi saya beritahu kalau anak kita dilatih untuk cuci tandas dia tahu bagaimana ibu dia buat kerja di rumah. Dia akan hargai tukang cuci di jalanan di tandas awam bahawa ada nilai kerja.

“Ia melatih perubahan sikap, kadang-kadang orang kelas atasan ini tidak ada langsung untuk rasa prihatin dan ehsan kepada golongan bawah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI