fbpx

5 lelaki termasuk dua beradik dipenjara, sebabkan kematian tanpa niat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA lelaki termasuk dua beradik dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh selepas didapati bersalah membunuh tanpa niat seorang penagih dadah, lima tahun lalu.

IPOH – Lima lelaki termasuk dua beradik yang sebelum ini didakwa membunuh seorang penagih dadah, dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menyebabkan kematian mangsa, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Su Tiang Joo menjatuhkan hukuman itu ke atas C. Sathis, 29, dan adiknya, Kartik Krishnan, 24, serta J. Jaya Ganesh, 25; A. Arjun, 26 dan V. Sivabalan, 24, selepas pertuduhan membunuh Chung Thian Keong, 54, dipinda kepada menyebabkan kematian tanpa niat.

Mahkamah memutuskan hukuman penjara ditetapkan dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap pada 18 Mei 2018.

Mengikut pertuduhan, lima tertuduh itu didakwa dalam mencapai niat bersama telah membunuh Thian Keong di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang dalam daerah Batu Gajah, antara pukul 7 petang pada 17 Mei 2018 hingga 7 pagi 18 Mei 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lima lelaki itu sebelum ini dibicarakan atas pertuduhan membunuh Thian Keong di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Charan Singh.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan hukuman sewajarnya dikenakan terhadap kesemua tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira faktor kepentingan awam dan kecederaan yang dialami si mati akibat perbuatan tertuduh.

Bagaimanapun Charan Singh memohon hukuman ringan memandangkan keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan tidak menunjukkan sebarang senjata yang telah digunakan semasa kejadian itu.

Malah katanya, fakta kes juga menunjukkan si mati menjalankan aktiviti haram dengan menjual dadah di tempat kesemua tertuduh berada.

“Selain itu, tiada sebarang senjata digunakan oleh mana-mana tertuduh dalam kes ini dan si mati tidak mendapat kecederaan di bahagian badan lain kecuali di kepala,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI