fbpx

Warga emas maut diseret trak pikap dipandu lelaki khayal syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah trak pikap yang merempuh motosikal seorang warga emas di jalan Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang semalam. -Foto IHSAN POLIS

GUA MUSANG – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah trak pikap dipandu seorang lelaki yang khayal akibat pengambilan dadah jenis methamphetamine di jalan Kampung Jeram Tekoh di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, mangsa, M. Noor Awang, 67, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda diseret sejauh 7.3 meter sebelum trak pikap jenis Mitsubishi Storm itu berhenti selepas merempuh sebuah rumah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, trak pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Jeram Tekoh menuju ke Kampung Baru Jeram Tekoh di sini.

Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal ditunggang M. Noor.

“Motosikal mangsa diseret sejauh 7.3 meter sehingga trak pikap itu berhenti ketika merempuh sebuah rumah di sebelah kanan jalan.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Choon Foo memberitahu, hasil bedah siasat di Hospital Gua Musang di sini mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kehilangan darah yang banyak akibat kemalangan.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu trak pikap itu positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu, lelaki itu juga mempunyai rekod lampau kes penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama” katanya.

Tambah Choon Foo, kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu semasa berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI