PETALING JAYA – Selain tekanan, terdapat individu yang sanggup menoreh lengan sendiri semata-mata mahu menarik perhatian ramai atau mengejar banyak ‘like’ di media sosial supaya lebih dikenali atau popular.
Pakar psikologi, Dr. Meriam Omar Din berkata, kegiatan itu lebih cenderung dilakukan oleh pelajar-pelajar dengan memuat naik gambar-gambar torehan lengan di media sosial.
Menurutnya, individu yang mahu membunuh diri kebiasaannya tidak mahu orang lain tahu niat mereka, tetapi jika perkara itu dikongsikan secara terbuka di media sosial, besar kemungkinan mereka mahukan perhatian.
“Terdapat dua kemungkinan perkara itu berlaku, mungkin pelajar tertekan kerana ibu bapa terlalu fokus kepada pencapaian pelajaran mereka, tetapi pelajar tersebut sukar untuk memenuhi jangkaan itu.
“Selain itu, pelajar yang terlibat mungkin merasa diri mereka tidak disayangi, jadi dengan melakukan perkara ini. Dia mahu dapatkan perhatian mungkin daripada ahli keluarga sendiri atau rakan-rakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau memberitahu, jika individu terbabit kemurungan, antara simptomnya seperti mengalami kesedihan berterusan selama berminggu-minggu, antisosial, rendah diri serta ada cubaan untuk membunuh diri.
“Bagaimanapun, terdapat juga kes yang bukan disebabkan kemurungan, tetapi kerana tidak mendapat perhatian atau kasih sayang ibu bapa.
“Kelakuan mencederakan diri itu sebagai salah satu cara untuk mendapatkan perhatian dan simpati mereka sahaja,” ujarnya.














