Minggu lalu, Kosmo! melaporkan aduan pengguna yang mendakwa bekalan gula peket satu kilogram mengalami kekurangan atau ‘ghaib’ di pasaran.
Masalah itu dikatakan berlaku, sekurang-kurangnya di lima negeri melibatkan beberapa kawasan di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka sejak dua minggu lalu.
Ia hasil tinjauan Kosmo! di beberapa kedai runcit selain temu bual sendiri dengan pengguna termasuk peniaga makanan serta minuman di negeri-negeri terbabit.
Pengguna mendakwa terpaksa mencari gula di merata-rata tempat seperti kedai runcit dan pasar mini, malah ada penduduk Kedah sanggup datang ke Perlis untuk mendapatkan bekalan.
Secara realitinya, isu bekalan gula benar-benar wujud kerana mereka adalah individu yang sering mengunjungi kedai runcit atau pasar mini untuk membeli barangan keperluan itu.
Mereka juga adalah golongan teramai yang merasai sama ada bekalan sesuatu barangan itu kurang atau berlambak. Begitu juga sekiranya berlaku kenaikan harga barangan, mereka orang pertama akan merasai kenaikan tersebut.
Suara pengguna adalah cerminan apa yang sedang berlaku di pasaran. Keluhan mereka bukan sahaja kepada pihak media, sebaliknya kini lebih banyak diluahkan di media sosial.
Bagaimanapun, pihak berkuasa kadangkala tidak mengakui berlaku kekurangan bekalan atau kenaikan harga barangan.
Pengguna pula dinasihatkan supaya tidak membuat pembelian panik sehingga boleh menimbulkan kacau ganggu terhadap bekalan gula.
Pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk melakukan pemantauan serta pemeriksaan rantaian bekalan, daripada pengeluar, pemborong sehingga kepada penjual, sama ada wujud kekurangan stok atau tidak.
Mereka bertanggungjawab memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan harga barangan kawalan berada pada atau di bawah paras ditetapkan.
Kelmarin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekali lagi memberi jaminan bekalan gula adalah mencukupi untuk keperluan di seluruh negara menjelang musim perayaan Hari Raya Aidiladha pada akhir bulan ini.
KPDN telah mengarahkan agar dua syarikat pengeluar gula tempatan mengagihkan stok gula pasir kasar dan halus mengikut kuota ditetapkan kepada pemborong.
Kementerian juga akan memantau rangkaian agihan pengeluaran bekalan di semua peringkat bagi memastikan stok sentiasa mencukupi di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna.
Ketika ini, bekalan gula nampaknya kembali pulih di seluruh negara. Justeru, kita berharap bekalan gula tidak akan berkurangan atau terputus stok lagi, malah tiada kenaikan harga menjelang musim perayaan ini.














