DIKECAM tidak cukup ‘putih’ untuk membawakan karakter duyung kesayangan ramai, Ariel dalam The Little Mermaid, aktres Halle Bailey bagaikan karakter Dayang Senandung dalam epik Melayu yang membuktikan kualiti dan keperibadian mengatasi segala-galanya, tidak dibatasi warna kulit.
“SATU perasaan yang luar biasa dapat berlakon dalam filem yang kita sudah tonton sejak kecil.”
Itu susunan kata dari bibir Halle Lynn Bailey, 23, apabila diberi penghormatan dan penghargaan berlakon dalam filem The Little Mermaid.
Bukan sekadar berlakon, Halle Bailey merupakan teraju utama filem arahan sutradara Rob Marshall melakonkan peranan puteri duyung kesayangan ramai, Ariel.
Ketika Disney membocorkan tentang perkara terbabit, wanita kelahiran Georgia, Amerika Syarikat itu menerima banyak kecaman, antaranya dia bukanlah calon sesuai menjayakan karakter ikonik tersebut.

“NotMyAriel
Tanda pagar #NotMyAriel mula berserakan dalam platform media sosial. Namun, konotasi berbaur negatif itu perlahan-lahan berlalu pergi sehinggalah The Little Mermaid mula ditayangkan sekitar minggu lalu.
Ada yang terus mengeji, namun tidak kurang ada juga yang memuji Halle yang rata-rata menyifatkan dia aktres yang paling cocok menterjemah watak Ariel ke ‘alam’ nyata atau ‘live-action’.
Halle dalam satu temu bual virtual bersama HibGlam baru-baru ini memaklumkan, jangan menilai melebih-lebih sebelum menonton naskhah berkenaan di pawagam.
“Mereka yang mengecam patut menonton The Little Mermaid sebelum memberikan komen tentangnya.

Selami Ariel
“Saya berbangga menjadi seorang wanita muda berkulit hitam yang melakonkan karakter Ariel iaitu watak utama dalam filem. Pengalaman ini membuatkan saya bahagia.
“Saya juga berbangga dapat mewakili golongan belia dan komuniti serta semua anak-anak kulit hitam.
Dalam pada itu, ditanya lebih terperinci tentang karakter Ariel yang berpaksikan daripada kartun atau animasi terbitan tahun 1989 kepada versi live-action, Halle berkata, terdapat beberapa aspek ‘diperbaharui’ dalam The Little Mermaid kali ini.
“Watak Ariel dalam The Little Mermaid versi original memang sudah hebat. Cuma, dalam versi live-action, kita akan dapat menyelami lebih dalam jiwa dan mindanya.
“Sebab mengapa dia lakukan pilihan dalam hidupnya. Satu kisah yang indah mengapa Ariel sanggup korbankan apa dia ada, untuk bertemu dengan mimpinya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Halle mendedahkan, ‘bercakap’ dalam laut adalah perkara yang mudah untuk dilakukannya.
“Duyung bernama Ariel membantu saya buat banyak perkara.
“Ariel itu sendiri membesar dalam laut bersama adik-beradik, keluarga dan bapanya.
‘Bercakap’ dalam air benda semula jadi yang mudah untuk dilakukan,” ujarnya berseloroh.

Mimpi jadi kenyataan
Mimpi jadi kenyataan. Itulah apa yang acapkali terucap ketika temu bual. Katanya, bekerja dengan barisan pelakon lain seperti Melissa McCarthy memang satu pengalaman yang luar biasa.
Sungguhpun begitu, Halle tetap dengan intuisi hatinya, di mana dunia sekali pun, kerjaya utamanya adalah seorang penyanyi dan penggubah lagu.
“Terlibat dalam sebuah filem reimaginasi The Little Mermaid bersama Melissa McCarthy yang sangat saya kagumi mencetuskan rasa yang tidak boleh bayanghkan.
“Walaupun filem ini telah ditayangkan, saya sentiasa melihat diri sebagai seorang penyanyi dan penggubah lagu dahulu.
“Itulah dunia yang saya berasa sangat selesa. Saya tetap sukan lakukan siri jelajah, berada di atas jalan. Itulah tempat selamat saya (safe haven),” katanya menutup perbualan.

















