fbpx

Vaksin pneumokokal percuma bayi lahir 2018, 2019 mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan pemberian vaksin pneumokokal secara percuma bermula esok kepada kanak-kanak yang lahir pada 2018 dan 2019 di semua fasiliti primer kerajaan seluruh negara.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pemberian vaksin itu yang dilaksanakan hingga 31 Mei 2024 dibuat menerusi inisiatif imunisasi catch-up pneumokokal (CHUP) bagi memastikan golongan terlibat menerima imunisasi lengkap.

Katanya, usaha itu juga bagi mengoptimumkan perlindungan penyakit pneumokokal invasif dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Berdasarkan data KKM, kadar discaj akibat penyakit pneumokokal invasif di hospital adalah tinggi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Jadi, bagi pemberian vaksin itu, ibu bapa boleh bawa anak-anak mereka ke mana-mana fasiliti kita secara ‘walk in’ untuk menerima suntikan.

“Selain itu, ada juga janji temu melalui MySejahtera di mana ibu bapa boleh pergi ke aplikasi MySejahtera untuk tempahan bagi mendapatkan vaksin di semua fasiliti kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini tadi.

Dalam pada itu, Dr. Zaliha menjelaskan, KKM turut menyasarkan seramai 700,000 daripada sejuta kanak-kanak berusia empat dan lima tahun untuk menerima suntikan pneumokokal menerusi inisiatif itu.

“Walaupun disasarkan 700,000, tetapi KKM mengharapkan sekurang-kurangnya kita mampu mencapai sehingga 70 peratus daripada sasaran itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr. Zaliha berkata, KKM telah melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal menerusi Program Imunisasi Kebangsaan kepada kanak-kanak yang lahir bermula 1 Januari 2020.

“Vaksin pneumokokal diberikan bertujuan mencegah penyakit disebabkan jangkitan bakteria
Streptococcus pneumoniae yang boleh menyebabkan radang paru-paru (pneumonia), radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

“Ia juga boleh menyebabkan penyakit seperti komplikasi cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian,” jelasnya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit cegahan vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak.

“Vaksin itu termasuklah untuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, Difteria, Tetanus (kancing gigi), Pertussis (batuk kokol), Haemophilus Influenza Type b, Polio, Measles (campak), Mumps (beguk) dan Rubella.

“Bagi murid perempuan berumur 13 tahun pula, mereka menerima vaksin Human Papilloma Virus (HPV) selain vaksin Japanese Encephalitis turut diberikan di Sarawak,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI