fbpx

Penunggang motosikal langgar polis ditahan reman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penunggang motosikal yang menunggang secara melulu dan melanggar pegawai polis ditahan reman di Ibu Pejabat polis Daerah Jerantut di Jerantut.

JERANTUT – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor cedera selepas dirempuh seorang penunggang motosikal ketika melakukan operasi pemeriksaan motosikal kira-kira pukul 5.45 petang di Kilometer 3 Jalan Jerantut – Kuantan di sini semalam

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, lelaki beralamat di Felda Sungai Retang itu cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya dan melanggar ketua operasi tersebut, Mohd Zahiddin Zakaria.

“Penunggang itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, berwarna biru juga menunggang dalam keadaan laju serta melakukan pergerakan zig zag di atas jalan raya sebelum tiba di tempat sekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mazlan, suspek kemudian melanggar bahagian belakang kenderaan polis trafik jenis Mitsubihi Outlander sebelum terjatuh di bahu jalan dan ditahan polis.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak memiliki lesen memandu yang sah serta Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh pada bulan September 2020.

“Suspek ditahan reman selama empat hari. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Penunggang motosikal berkenaan telah menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI