Selalu kita dengar cerita perkelahian antara adik-beradik disebabkan berebut harta pusaka selepas ibu bapa meninggal dunia hingga bermasam muka dan tidak bertegur sapa bertahun-tahun lamanya.
Lebih parah, perbalahan tersebut turut diwarisi oleh anak-anak mereka hingga timbul perasaan benci dan dendam kesumat yang tidak berkesudahan.
Cerita tentang perbalahan ini hampir sama dialami hampir setiap orang.
Ada adik tidak berpuas hati dengan abang sulung yang dikata membolot sebahagian harta secara sembunyi untuk kepentingan sendiri.
Ada juga abang yang berjauh hati disebabkan terdapat ibu bapa yang dikatakan pilih kasih dengan memberikan harta tertentu seperti tanah untuk tapak rumah kepada si bongsu dan begitulah seterusnya.
Persoalannya, berbaloikan tidak bertegur sapa dan berdendam dengan darah daging sendiri disebabkan tamakkan harta pusaka peninggalan orang tua yang kadang-kadang nilainya tidak seberapa.
Dalam hal ini, Islam mengajar kita agar sentiasa menyambung hubungan silaturahim walau apa keadaan sekalipun.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jubair bin Muthim bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” – Riwayat al-Bukhari.
Namun, mengapa manusia sanggup berpaling daripada amaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW ini hinggakan tiada perasaan takut walau sekelumit dalam hati mereka tentang balasan neraka kepada orang yang ingkar.
Ini semua disebabkan perasaan tamak dan dengki yang bersarang dalam dada, biasanya mereka ingin mendapat agihan yang lebih, harta yang lebih banyak berbanding adik-beradik lain.
Yang sedihnya, ada abang yang sudah kaya raya pun sanggup berebut harta pusaka kerana dengki tidak mahu lihat adik-beradik lain dapat lebih.
Bagi yang miskin pula, berebut harta untuk menampung kekurangan yang ada padanya.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka yang mewarisi harta pusaka dalam jumlah yang banyak seperti mendapat kejutan budaya.
Dapat duit selambak, mula lupa diri, dihabiskan beli kereta, mengubah suai rumah termasuk melancong ke luar negara.
Selepas itu baru menyesal dan hendak berbaik serta menyantuni semula adik-beradik yang sudah berpatah arang, berkerat rotan jauh sama sekali disebabkan sikap ego yang ada pada diri mereka.
Percayalah hidup di dunia hanya sementara, walau ada harta segunung pun tidak bermakna jika mempunyai sikap dengki dan tamak lebih-lebih lagi dengan saudara sedarah.
Bermuafakatlah secara baik untuk kehidupan lebih harmoni kerana ada pepatah Melayu yang mengatakan air dicincang takkan putus.














