fbpx

Mahkamah: Bekas CEO didakwa tipu invois RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (berbaju merah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN / KOSMO!

SEBERANG PERAI – Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, di sini hari ini atas tuduhan memperdaya seorang Eksekutif Operasi Kewangan membabitkan kerugian RM40,000 tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42 bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya pengadu dengan memberikan invois palsu bagi perkhidmatan ‘Kaspersky Antivirus License Renewal Consultation Service’ dengan bayaran RM40,000 kepada sebuah syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister, George Town pada 11 Oktober 2016.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Undang-Undang Malaysia Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga turut dibacakan dengan pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Ketika prosiding, Chun Pun memohon mahkamah supaya jaminan dikurangkan atas faktor anak guamnya perlu menyara isteri, dua anak dan ibu bapanya yang sudah uzur serta seorang adik yang tinggal bersamanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan. Bagaimanapun, kes tersebut akan disebut semula pada 26 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI