fbpx

Ibu bapa keluar belanja RM600 sebulan tanggung anak praktikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LATIHAN industri memberi pendedahan terbaik kepada siswazah sebelum masuk ke sektor pekerjaan, namun isu tidak dibayar elaun ketika menjalani praktikal menggusarkan golongan itu. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Rata-rata ibu bapa mengakui terbeban apabila terpaksa mengeluarkan belanja antara RM300 hingga RM600 sebulan bagi seorang anak yang sedang menjalani latihan industri disebabkan majikan mereka tidak menyediakan elaun.

Berkongsi cerita, pekerja swasta, Md. Sulaiman Isohar, 50, berkata, latar belakang keluar­ganya yang kurang berke­mampuan sememangnya membuatkan dia tidak mampu menanggung keseluruhan kos perbelanjaan anaknya itu apabila terpaksa menjalani latihan industri di Shah Alam, Selangor.

“Bukan semua keluarga yang dapat menghantar anak ke universiti mampu menanggung anak ketika latihan industri, lebih-­lebih lagi jika mereka ditempatkan di kawasan bandar yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi.

“Kami berasal dari Ipoh. Anak pula menjalani latihan industri di Shah Alam. Di sana, kos sara hidup tidak sama seperti di Ipoh. Kalau anak saya boleh menjalani latihan industri di sini, saya tidak kisah.

“Sebagai ibu bapa, kami terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menanggung semua kos perbelanjaan anak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kata Md. Sulaiman, majikan anaknya memaklumkan pelatih hanya dibayar elaun sekiranya mereka mempunyai tugasan di luar syarikat.

“Eloklah jika kerajaan dapat memperhalusi cadangan untuk mewujudkan akta bagi melin­dungi kebajikan pelajar, terutamanya dari segi pemberian elaun,” sarannya.

Sementara itu, seorang perunding kewangan di Klang, Huzaima Yusof berkata, dia menyokong penuh supaya akta khusus itu dipercepatkan ekoran ibu bapa terpaksa mengeluarkan belanja sekitar RM500 hingga RM600 bagi menampung keperluan anak sepanjang proses latihan industri.

“Sebelum ini, pernah saya belanjakan RM500 ke RM600 selama tiga bulan sebab anak tak dapat elaun dan jujur saya katakan perbelanjaan bulanan kami agak terkesan ketika itu.

“Kalau dulu mungkin ada pelajar ‘intern’ buat kerja bancuh kopi dan kerja-kerja pengke­ranian tapi saya yakin sekarang semua itu sudah berubah.

“Buah fikiran dan idea kreatif anak-anak muda kini sangat bernilai dan boleh diambil kira untuk melancarkan dan memudahkan lagi sesuatu tugasan yang sebelum ini mungkin dibuat secara ‘old school’,” katanya.

Seorang lagi pesara Felda, Zaliha Deraman, 58, mendakwa, anaknya pernah dipaksa bekerja lebih masa dengan bayaran elaun yang sangat rendah.

Dakwa Zaliha lagi, anak pe­rempuannya itu yang menjalani latihan industri di sebuah sya­rikat perlombongan di timur tanah air itu juga mengalami tekanan dari segi fizikal dan juga emosi disebabkan lambakan kerja dan juga budaya ‘ragging’ di tempat tersebut.

“Sepanjang 6 bulan latihan industri, anak saya hanya men­dapat elaun sebanyak RM20 sehari.

“Dia juga sering menelefon saya sambil menangis kerana tidak tahan dibuli dan dipaksa bekerja di luar skop tugasan sebenar sehingga terpaksa berhenti awal dan tidak dapat menghabiskan tempoh latihan industri,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI