fbpx

Wanita maut digilis pemandu lori positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar lokasi kematian wanita digilis sebuah lori di Kilometer 11, Jalan Sg Lalang berhampiran Sekolah Kebangsaan Hulu Semenyih, Kajang, petang tadi.

KAJANG – Seorang wanita maut selepas digilis sebuah lori di Kilometer 11, Jalan Sg Lalang berhampiran Sekolah Kebangsaan Hulu Semenyih, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori pada pukul 3.26 petang.

Katanya, motosikal yang ditunggang wanita tempatan berusia 56 tahun ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa yang cuba memotong di sebelah kiri lori telah bergesel dengan kenderaan tersebut lalu jatuh di atas jalan.

“Mangsa turut digilis oleh tayar belakang lori tersebut lalu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan mati di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zaid, Ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamin.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini bolehlah menghubungi mana-mana Balai Polis yang berdekatan di daerah Kajang.

“Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Ispektor Isa Ahmad di talian 016-4436149 bagi menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI