fbpx

Peket jus dadah anggur, tembikai RM200 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peket jus dadah berperisa dirampas dalam serbuan kawasan Pandamaran, Klang pada Rabu lalu.

KLANG – Campur estacy dan ketamin sebelum dijadikan peket jus dadah berperisa seperti anggur dan tembikai.

Itu modus operandi digunakan satu sindiket pengedaran dadah yang berjaya dibongkar menerusi dua serbuan di kawasan Pandamaran pukul 6.30 petang, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjadikan sebuah rumah sebagai makmal mini mereka dalam pemprosesan dan pembungkusan dadah tersebut.

Katanya, jus-jus dadah itu dibuat berperisa termasuk anggur, tembikai, mangga, limau sebelum dijual pada harga RM200 sepeket yang dianggarkan seberat 5 gram (g).

“Sindiket ini dikatakan berjaya menghasilkan sebanyak 1,000 peket setiap minggu bergantung kepada permintaan para pelanggan.

“Sasaran pasaran mereka adalah sekitar kelab hiburan bukan sahaja di daerah ini malah luar Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.

Hoong Fong ( tiga kanan) menunjukkan peket jus dadah dirampas daripada satu sindiket di Pandamaran.

Difahamkan pembahagian campuran dadah itu adalah 0.1g ketamin dan 0.6 estacy selain ditambah perisa buah-buahan.

Hoong Fong menambah, hasil serbuan itu berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dengan saringan awal didapati positif dadah jenis Benzo.

Turut dirampas adalah seperti 2,700 biji pil ecstasy, 120 peket serbuk ecstasy dan 1 peket ketamin dianggarkan berat keseluruhan 4.7 kilogram bernilai RM180,000.

“Suspek direman selama tujuh hari sehingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kita sedang mengesan suspek lain yang terlibat dalam sindiket dadah itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pihaknya juga merampas 1,048.4g ketulan mampat ganja yang bernilai RM2,200 di tepi Jalan Melor dan menangkap seorang suspek lelaki berusia 26 tahun.

“Lelaki yang positif tetrahydrocannabinol (THC) itu telah didakwa di mahkamah pada 26 Mei lalu mengikut Seksyen 39B ADB 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI