Sebut sahaja pasal keluarga, berderai air mata. Itulah yang berlaku kepada para jemaah haji Malaysia setiap kali emosi mereka dicuit dengan sentimen tersebut.
Melangkah keluar dari perut bas dengan wajah ceria dan tersenyum lebar kerana berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci tetapi apabila disuruh memberi ucapan kepada keluarga di Malaysia, kaki pun terhenti dan air mata mereka tumpah tanpa dipaksa.
Bukan mudah bagi jemaah haji terutamanya warga emas yang terpaksa berjauhan daripada keluarga di tanah air. Ditambah pula ada yang menunggu sehingga 20 tahun sebelum dijemput menjadi dhuyufurrahman kerana kekangan kewangan dan masa.
Maka apabila dapat memijak bumi Mekah dan Madinah, ia merupakan nikmat yang tidak terkata.
Petugas Tabung Haji (TH) menceritakan mengenai perjalanan indah seorang warga emas dari Sabah ke Tanah Suci suatu ketika dahulu. Dia pernah ditawarkan sebanyak 10 kali untuk menunaikan haji tetapi terpaksa ditolak kerana masalah duit.
Akhirnya ada hamba Allah yang membantunya untuk ke Mekah tetapi apabila tiba, dia tidak berbelanja kerana hanya membawa RM300 sahaja untuk tinggal selama lebih 40 hari di sini. Lebih mengharukan dia terus menangis apabila ditunjukkan gambar anak tunggalnya yang ditinggalkan di kampung halaman.
“Rezeki dia apabila kisahnya itu diketahui oleh petugas haji dan mereka bersepakat memungut derma untuk diberikan kepada jemaah tersebut yang berjumlah RM3,000,” kata petugas itu.
Dengan wang itu, hajatnya untuk membelikan jubah dan cenderahati kepada anak dan juga saudara maranya tercapai.
Tanah Suci mempunyai 1,001 kisah yang dialami oleh dhuyufurrahman. Hanya mereka yang menjejakkan kaki ke sini sahaja dapat memahaminya kerana perjalanan rohani di sini tidak sama dengan mana-mana tempat. Sebab itu, kerajaan Arab Saudi dan Tabung Haji menyediakan perkhidmatan terbaik untuk tetamu Allah.
Sebagai bukti awal, mereka telah menjalinkan kerjasama dengan Malaysia iaitu mewujudkan sistem Mecca Route yang mana ia memudahkan urusan kemasukan jemaah dari lapangan terbang hingga ke tanah haram.
Selain Malaysia, Arab Saudi turut memilih beberapa negara lain untuk menggunakan sistem tersebut seperti Nigeria, Indonesia, Pakistan, Turkiye dan Bangladesh.
Lebih hebat apabila syarikat muassasah Arab Saudi yang ditugaskan untuk membantu agensi haji negara luar seperti TH melakukan sambutan gilang-gemilang ke atas kumpulan jemaah pertama yang tiba di Maktab Abraj Janadriyah dan Land Premium beberapa hari lalu.
Taburan bunga, hamparan karpet, alunan qasidah dan minuman ringan untuk menyegarkan badan turut disediakan bagi memuliakan dhuyufurrahman.
Kesimpulannya, haji bukanlah hanya ibadat semata-mata tetapi lebih kepada penyerahan diri dan pemahaman mengenai hakikat mengenai sesuatu perbuatan selain menginsafi perjalanan dakwah dan hijrah Rasulullah SAW.
NOTA: Penulis adalah petugas media Tabung Haji yang berada di Mekah.














