fbpx

Guna khidmat pakar jadikan Kuala Lumpur hab syarikat pemula – Rafizi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafizi ketika mengadakan pertemuan bersama Jack Selby baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Malaysia sedia menggunakan khidmat pakar bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula terkemuka di rantau ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, pada penyertaan beliau di Forum Ekonomi Qatar minggu lalu, beliau berpeluang berkongsi pandangan bersama Jack Selby, seorang veteran dalam pembangunan hab syarikat pemula.

Katanya, Jack Selby adalah Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona Technology Innovation Summit dan merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

“Kumpulan pengasas PayPal ini menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal, antaranya seperti Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI.

“Beliau melahirkan minat untuk membantu Malaysia merealisasikan sasaran yang telah saya gariskan untuk Kuala Lumpur sebagai ‘hub startup’ dan industri digital serantau,” katanya di sini.

Beliau berkata, kepakaran Jack Selby adalah unik kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baru di luar Silicon Valley kini semakin berjaya menarik syarikat-syarikat pemula untuk datang ke Arizona.

“Dengan pengalaman Jack Selby di Arizona, Malaysia boleh gunakan untuk merangka dasar dan program bagi melonjakkan status Kuala Lumpur sebagai destinasi utama digital di rantau ini. Saya akan terus memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan usaha ekonomi digital ini.

“Saya percaya sekiranya kita terus tidak bersikap ‘business as usual’, terus berfikir dan melaksana, hasil ekonomi yang lebih besar nilainya akan dapat dinikmati semua,” ujarnya.

Tambahnya, visi dan matlamat pembangunan ekonomi melihat ke masa depan perlu berani, berbeza dan mampu memberikan impak besar kepada negara dan anak tempatan.

“Sementara industri sedia ada perlu terus diberikan nilai tambah, saya juga sebelum ini telah menyentuh dan menyatakan rancangan untuk tiga sektor strategik seterusnya yang akan diberikan tumpuan iaitu peralihan tenaga kepada tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan dan ekonomi digital.

“Fokus seterusnya adalah berkenaan ekonomi digital dan untuk bulan-bulan seterusnya, saya dan pasukan Kementerian Ekonomi kini sedang bekerjasama untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi digital negara,” jelasnya.

Rafizi berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan menumpukan kepada menyelaraskan sistem sokongan awam ke arah pendekatan bersepadu bagi menambah baik ekosistem digital yang lebih berkesan.

“Selain itu, memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam berasaskan data dan digital secara bersepadu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI