fbpx

Kereta hilang kawalan punca lelaki maut terbabas ke lorong motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kenderaan terbabas lalu terbakar di laluan motosikal, Jalan Bukit Desa, Setapak, di sini, semalam.

KUALA LUMPUR – Hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan disyaki punca kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki tempatan di laluan motosikal, Jalan Bukit Desa, Setapak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian pukul 10.20 malam itu membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen Golf yang dinaiki seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun serta seorang wanita warga Thailand.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa disyaki hilang kawalan semasa memandu lalu merempuh penghadang jalan di Jalan Bukit Desa, di sini mengakibatkan kenderaannya terbabas dan terbakar.

“Mangsa dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam manakala pemandu kenderaan berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun penumpang kereta berkenaan yang cedera ringan telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi wanita warga Thailand cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka terbakar di lokasi kejadian.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan semalam berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta.

Tambah kenyataan itu, jenis dan nombor pendaftaran kereta tidak dapat dikenal pasti akibat kemusnahan kebakaran 100 peratus.

Menurut Amihizam, kes disiasat di bawah Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kuala Lumpur.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan sekiranya mempunyai maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 arau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI