fbpx

Tina Turner meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyanyi legenda era 1980-an, Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun di Küsnacht di Zurich, Switzerland.

PENYANYI legenda era 1980-an, Tina Turner meninggal dunia pada usia 83 tahun di Küsnacht di Zurich, Switzerland, akibat penyakit yang lama dideritainya, semalam.

Mendiang dilaporkan menghidap kanser usus pada 2016 dan menjalani pemindahan buah pinggang setahun kemudian. Sebelum itu, sekitar 2013 Turner pernah diserang angin ahmar.

Pemergian penyanyi yang popular dengan lagu What’s Love Got To Do With It itu diumumkan menerusi laman sosial rasmi beliau, termasuk Facebook dan Instagram.

“Dengan dukacitanya kami mengumumkan pemergian Tina Turner. Beliau telah memukau berjuta peminat di seluruh dunia dan memberi inspirasi kepada ramai insan.

“Hari ini kita mengucapkan selamat tinggal kepada seorang sahabat yang meninggalkan karya terbesarnya untuk kita iaitu muziknya.

“Takziah kepada keluarganya. Tina, kami akan merindui anda,” jelas pengendali akaun media sosial penghibur asal Brownsville, Tennessee, Amerika Syarikat itu, hari ini.

Turner atau nama sebenarnya Anna Mae Bullock yang juga penerima lapan Anugerah Grammy itu menjadikan Switzerland sebagai tempat tinggal sejak 1994.

Selepas 27 tahun menjalin cinta dengan eksekutif muzik, Erwin Bach, penyanyi digelar Ratu Rock itu mengambil keputusan mengahwini teman lelakinya pada di Lake Zurich, Kusnacht, pada 2013.

Sebaik mendirikan rumah tangga penyanyi tersebut bertukar kepada kerakyatan Switzerland dan terus menetap di negara itu sehingga kematiannya.

Turner mencipta populariti melalui gandingan dengan bekas suami, Ike Turner pada era 1950-an hingga 1970-an bersama kumpulan Kings of Rhythm.

Beliau kemudian bergerak solo hingga mencetuskan fenomena tersendiri sekitar 1980-an dengan gaya nyanyian serta imej rambut gerbang yang menyerlahkan personalitinya.

Sepanjang pembabitan dalam arena muzik, banyak dendangan Turner menduduki carta lagu popular termasuk Typical Male, The Best, Private Dancer dan Better Be Good To Me.

Pada 1984, album Private Dancer yang memuatkan seleksi hit What’s Love Got To Do With It memenangi Anugerah Grammy sebagai Album Terbaik malah menduduki tempat pertama Billboard Hot 100.

Selain menyanyi, mendiang juga pernah berlakon dalam filem Tommy pada 1975 dan dan Mad Max Beyond Thunderdome 10 tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI