fbpx

Dewan Rakyat: Masalah politik 4 tahun beri kesan kepada atlet – Hannah Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan kerana tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium berikutan ketidakstabilan politik negara selama empat tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata dalam tempoh empat tahun, berlaku tiga pertukaran menteri yang menyebabkan pertukaran bajet, fokus dan ahli lembaga pengarah.

Jelas Ahli Parlimen Segambut itu, dalam butiran Bajet 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tiada dinyatakan peruntukkan untuk program podium 2022 sehingga menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi 2022 antaranya Sukan SEA Vietnam, Sukan Birmingham dan Sukan ASEAN.

“Oleh itu, kesannya seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus diberikan untuk pelaksanaan program latihan senior di bawah program podium.

“MSN juga terpaksa mengagih dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet dan gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan untuk tidak menjejaskan prestasi atlet sedang dalam latihan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) yang meminta Yeoh untuk menjelaskan kenyataannya bahawa ketidakstabilan politik punca pencapaian buruk di Sukan SEA di Kemboja 2023.

Tambah Yeoh, kementerian terpaksa mengambil inisiatif memohon kepada Kabinet untuk mendapatkan peruntukan program podium dan dipersetujui di bawah Rancangan Malaysia ke-12 sebanyak RM240 juta dari 2022 hingga 2025 iaitu RM60 juta setahun.

“Dalam empat tahun ini negara jiran sudah maju ke hadapan. Saya bukan kata semuanya adalah kerana ketidakstabilan politik, tetapi kita perlu memperakui dalam empat tahun lalu selepas Langkah Sheraton, banyak usaha yang dilakukan kerajaan pada masa itu terganggu dan itu adalah fakta,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI