fbpx

Rebut peluang insentif diskaun PTPTN sebelum 31 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rebut peluang insentif PTPTN yang ditawarkan kepada peminjam untuk kemudahan generasi masa depan. -Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggesa orang ramai terutamanya peminjam supaya memanfaatkan dua insentif yang telah diumumkan kerajaan semasa pembentangan Belanjawan 2023 lalu.

Insentif pertama adalah pemberian diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus selama tiga bulan mulai 1 Mac 2023.

Sementara insentif kedua pula meliputi penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh enam bulan dan permohonan penangguhan boleh dibuat mulai 1 Mac lalu.

Gambar hiasan.

Jelas PTPTN, pelaksanaan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 20 peratus berkuat kuasa 1 Mac hingga 31 Mei ini meliputi empat kategori iaitu diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

Selain itu, tawaran diskaun 15 peratus untuk penyelesaian sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan baki hutang dan diskaun 15 peratus juga untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus (direct debit) mengikut jadual bayaran balik.

Tambah PTPTN, diskaun lima peratus pula diberikan untuk bayaran balik melalui aplikasi myPTPTN.

Semua peminjam PTPTN termasuk yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan dan penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) adalah layak menikmati insentif ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih cepat, mudah dan selamat.

Peminjam juga boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut, Careline PTPTN di 03-2193 3000, Live Chat Agent, Pegawai e-Aduan di https://eaduan.ptptn.gov.my, Eksekutif Pemasaran PTPTN atau Media Sosial Rasmi PTPTN.

FIRJANI NAZIRUDDIN

Sementara itu, bagi seorang peminjam, Firjani Naziruddin, 29, berkata, inisiatif yang diperkenalkan PTPTN dan kerajaan itu sangat membantu suri rumah sepertinya untuk membayar pinjaman.

Jelas graduan dalam bidang komunikasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, beliau telah mengambil peluang melangsaikan 50 peratus pinjaman dan telah menikmati diskaun sebanyak 15 peratus.

“Terima kasih PTPTN dan juga kerajaan kerana memperkenalkan inisiatif ini kerana ia amat berguna kepada saya sebagai suri rumah. Nak bayar semua hutang tidak mampu.

“Tetapi sekurang-kurangnya separuh pinjaman saya telah dijelaskan. Sementara ada diskaun ini cepat-cepatlah buat bayaran, sekurang-kurangnya dapatlah kita kurangkan hutang sedia ada,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

ISMAT DZAKARIA

Turut menerima manfaat sama adalah seorang lagi peminjam, Ismat Dzakaria, 28, yang telah menikmati diskaun lima peratus apabila membuat bayaran pinjaman menerusi aplikasi myPTPTN.
Jelasnya, walaupun mendapat diskaun hanya lima peratus tetapi ia amat membantu graduan yang baharu menjejaki alam pekerjaan.

“Saya mengambil keputusan untuk membuat bayaran menerusi aplikasi myPTPTN kerana tidak mampu lagi membuat pemotongan gaji kerana baru dua tahun bekerja.

“Ini kerana sebelum ini saya telah menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana di sebuah universiti. Apabila dah stabil dalam alam pekerjaan kelak, saya akan membuat bayaran menerusi potongan gaji pula,” jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat ini.

Ismat berkata, dia juga berharap agar inisiatif ini akan dilaksanakan semula pada tahun depan supaya dia dapat menikmati semula diskaun seperti sekarang. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI