fbpx

K2

Perubahan iklim jejas aset pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA kawasan pantai di negara ini mengalami hakisan akibat daripada peningkatan paras laut. – Gambar hiasan

PADA masa ini, iklim global sedang berubah pada kadar yang belum pernah terjadi dalam sejarah manusia.

Ia dibimbangi akan menyebabkan perubahan dalam sistem geofizik, biologi dan sosioekonomi.

Fenomena ini seterusnya akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti kenaikan aras laut, banjir, tanah runtuh, hakisan pantai, kemarau, kebakaran hutan dan jerebu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan iklim yang dikaitkan dengan pemanasan global kesan daripada tangan-tangan manusia telah menjadi isu serius.

Perubahan iklim tersebut diramalkan akan menyebabkan kesan buruk seperti kemusnahan harta benda dan kehilangan mata pencarian.

Situasi ini akan merencatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan manusia.

Semasa peristiwa banjir besar yang berlaku pada 2014, lebih 200,000 orang terjejas dengan 21 kematian serta kos kerosakan mencapai RM1 bilion.

Purata kos kerosakan akibat banjir di Malaysia adalah kira-kira RM3 juta setiap kali berlaku bencana itu.

Selain itu, sepanjang abad ke-21, cuaca di Malaysia diramalkan akan mengalami peningkatan suhu, peningkatan aras air laut, kepekatan hujan yang sangat berbeza di seluruh kawasan.

Sementara itu, beberapa tempat menjadi lebih kering dan basah serta kekerapan peristiwa cuaca ekstrem.

Dalam tempoh 2030 hingga 2050, dianggarkan bahawa risiko banjir akan meningkat di kawasan pantai.

Jika tiada kawalan dan mitigasi dilakukan, jutaan manusia akan terjejas oleh bahaya pantai menjelang tahun 2100. Kebanyakan negara yang terjejas adalah dari rantau Asia Tenggara.

PERUBAHAN iklim telah menjejaskan sumber semula jadi di kawasan pantai terutamanya kepadatan ikan semakin berkurangan. – Gambar hiasan

Impak berkaitan dengan perubahan iklim yang diramalkan di kawasan pantai adalah pengurangan garis pantai, limpahan banjir pantai, kemasukan air masin dan pemendapan.

Kos terhadap impak semasa dan akan datang di pantai Malaysia dijangkakan agak tinggi, meningkatkan kerentanan kawasan pantai dengan memberi kesan kepada harta dan aset pantai.
Fenomena ini juga akan menjejaskan infrastruktur penting seperti rangkaian pengangkutan dan utiliti, beberapa fungsi bakau, akuakultur, sumber budaya, mata pencarian, kesihatan serta keselamatan komuniti pantai.

Masalah ini memburukkan lagi potensi kerentanan, risiko dan bahaya kepada pembangunan perbandaran pantai yang mampan.

Malaysia sedang mengalami trend peningkatan purata suhu permukaan tahunan, purata aras laut dan kejadian cuaca ekstrem tanpa mengira waktu.

Perkara ini tidak dapat dikecualikan kepada kawasan pantai yang sentiasa menghadapi impak berkaitan iklim.

Contohnya, daripada jumlah garis pantai di Malaysia sepanjang 8,840 kilometer (km), terdapat 1,348 km garis pantai telah terhakis dengan aktifnya.

Ini disusuli dengan kejadian banjir pantai dan impak air pasang yang jelas berlaku terutama di kawasan pinggir pantai rendah.

Kerentanan fizikal atau tahap ketahanan pantai di Malaysia menunjukkan beberapa pinggir pantai di Terengganu, Sarawak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Johor dan Kedah adalah sangat tinggi.

Hal ini kerana kadar hakisan di kawasan tersebut lebih tinggi berbanding di negeri-negeri lain.

Faktor lain yang mempengaruhi kadar kerentanan adalah keadaan geomorfologi pantai, kecerunan pantai, ketinggian ombak, pasang surut laut dan kadar kenaikan aras laut.

Selain itu, impak perubahan iklim terhadap sumber semula jadi kawasan pantai di Malaysia memberi kesan kepada keselamatan makanan terutama kepadatan ikan yang terus berkurangan di setiap zon tangkapan.

Kadar penangkapan ikan dijangkakan berkurangan sebanyak 1.67 peratus setiap tahun.

Impak juga berlaku kepada kerosakan terumbu karang yang berpunca daripada keadaan atmosfera dan dasar lautan semakin panas.

Ia juga berpunca daripada karbon dioksida terserap ke dalam lautan sehingga memberikan impak kepada organisma terumbu dengan penurunan nilai pH dan proses ini dikenali sebagai pengasidan lautan.

Hakisan pantai didapati memberi kesan yang ketara kepada sistem pantai dan infrastruktur seperti pokok bakau, hartanah dan rangkaian jalan raya.

Kemusnahan ini memberikan impak ketara kepada penduduk pinggir pantai yang bergantung kepada sumber laut.

Oleh itu, kerentanan dan adaptasi perubahan iklim mesti dinilai untuk melindungi kesejahteraan masyarakat serta memastikan kemapanan jangka panjang terutama di kawasan pantai.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI