SHAH ALAM – Cadangan pembinaan ladang ternakan babi seluas 202 hektar di Bukit Tagar, Hulu Selangor perlu dilaksanakan dengan jaminan bahawa alam sekitar serta sumber air utama tidak akan terjejas.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass Malaysia) Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, projek itu dikatakan akan dilaksanakan di lokasi yang jauh dari penempatan penduduk.
“Kita dimaklumkan projek ini akan dibuat di kawasan yang tiada penduduk, namun masalahnya kawasan Bukit Tagar itu juga terdiri daripada hutan simpan selain estet persendirian.
“Kalau melibatkan hutan simpan, proses pewartaan perlu dibuat. Apabila sudah warta, kawasan mana pula hendak digantikan sebagai hutan,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, kebimbangan utama pihaknya juga jika ladang itu dibina berhampiran Lembangan Sungai Selangor yang menjadi pembekal air utama kepada jutaan penduduk di Lembah Klang.
Justeru, pihaknya tidak mahu isu pencemaran seperti terjadi di Sungai Langat ‘berjangkit’ di sungai berhampiran bagi lokasi pembinaan ladang itu.
Katanya, pengalaman lampau melibatkan ladang ayam di Hulu Selangor membuktikan pelepasan kumbahan tanpa pemantauan ketat boleh menyebabkan pencemaran serius tanpa dapat dikesan awal.
“Apabila kumbahan dilepaskan ke sungai, bukti akan hilang, bila Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang, pencemaran sudah mengalir pergi. Sebab itu pemantauan dan sistem rawatan mesti ketat dari awal lagi,” katanya.















