fbpx

Pendaki Malaysia berjaya tawan puncak Everest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendaki Malaysia, Nagarajan berjaya menawan puncak Everest pukul 10.30 pagi tadi waktu tempatan.

PETALING JAYA – Jalur Gemilang sekali lagi berkibar Gunung Everest susulan kejayaan pendaki negara, RJ Nagarajan berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu tepat pukul 10.30 pagi waktu tempatan, bersamaan 12.45 tengah hari waktu Malaysia hari ini.

Kejayaan Nagarajan, 59, menawan gunung dengan ketinggian 8,850 meter (m) dari aras laut itu sekali gus menjadikan rakyat Malaysia kedua berjaya mendaki semua tujuh puncak tertinggi di tujuh benua versi Ralhold Messner dan pendaki keempat negara dikenali sebagai ‘World 7 Summit’.

Pengasas ZEROTO8000, Mohd. Khafiz Bachok berkata, Nagarajan yang mesra dipanggil RJ atau Rajan merupakan seorang pendaki daripada pasukan ZEROTO8000.

Katanya, pendakian beliau adalah untuk menyampaikan mesej semangat Malaysia berdikari dalam mengejar impian dan mencipta kejayaan.

“Menurut Nagarajan, setiap rakyat Malaysia harus berusaha berdikari dalam mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang, malah beliau sendiri melakukan semua pendakian ini dengan bekerja keras mengumpul dana sendiri.

“Kini terbukti beliau berjaya dan semangat inilah yang sedang diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia oleh ZEROTO8000, bukan hanya dalam aktiviti pendakian, tetapi dalam apa jua impian yang dimiliki mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khafiz berkata, sebelum ini Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin menjadi rakyat Malaysia pertama menamatkan pendakian ‘7 Summits’ versi Reinhold Messner (Carsten Pyramid) serta dua lagi pendaki iaitu Ahmad Reduan Rozali dan Fakri Abdul Samah dengan versi Richard Bass (Kosciousko).

Terdahulu, Nagarajan berjaya mendaki Gunung Aconcagua di Argentina pada ketinggian 6,961 m iaitu puncak tertinggi di benua Amerika Selatan, Gunung Denali di Amerika Syarikat pada ketinggian 6,194 m iaitu puncak tertinggi di benua Amerika Utara dan Gunung Kilimanjaro di Tanzania pada ketinggian 5,895 m iaitu puncak tertinggi di benua Afrika.

Seterusnya, Gunung Elbrus di Rusia pada ketinggian 5,642 m iaitu puncak tertinggi di benua Eropah, Gunung Vinson pada ketinggian 4,892 m yang merupakan puncak tertinggi di benua Antartika, Gunung Kosciuszko di Australia pada ketinggian 2,228 m puncak tertinggi di benua Australia.

Malah beliau telah melengkapkan dua lagi gunung iaitu Gunung Mont Blanc di Perancis pada ketinggian 4,810 m dan Puncak Jaya di Irian Jaya pada ketinggian 4,884 m yang masing-masing mempunyai versi berbeza untuk benua Eropah dan Australia.

Nagarajan mengambil masa tujuh tahun sejak tahun 2016 untuk melengkapkan kesemua pendakian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI