fbpx

Kerap minum air, pakai pakaian cerah elak strok haba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung yang memakai payung bagi berteduh dan berlindung dari cuaca panas ketika tinjauan di Batu Caves baru-baru ini.
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

BERITA kematian kanak-kanak berusia 11 tahun dan 19 bulan pada April lalu di Kelantan mengejutkan ramai pihak. Insiden yang meragut nyawa itu dikaitkan dengan cuaca panas berpanjangan ketika ini.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia 2023, fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan 2022 menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba. Di Malaysia, 200 kes berkaitan haba dilapor yang mana 22 kes adalah berkaitan strok haba.

Kejadian strok haba berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeli­ling melebihi 39.2 darjah Celsius.

Di beberapa negeri seperti Kedah, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran gelombang panas dengan suhu dijangka meningkat sehingga 37 darjah Celsius.

Ibu bapa perlu tahu bahawa punca strok haba adalah disebabkan peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40 darjah Celsius atau lebih tinggi lagi berbanding suhu badan normal 37 darjah Celsius.

Pakar Perunding Endokrinologi Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ch’ng Tong Wooi berkata, keadaan tersebut dikenali sebagai hipertermia.

Menurut beliau, strok haba bukan sahaja boleh berlaku kepada manusia, tetapi juga terhadap haiwan.

“Golongan yang berisiko terkena strok haba ialah kanak-kanak, warga emas terutama yang me­ng­alami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubat-ubatan.

“Para atlet terutama yang selalu berada di padang atau ge­langgang terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari, pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari seperti petani, nelayan atau buruh kasar turut terdedah kepada risiko ini.

“Selain itu, individu yang berada di dalam kenderaan tertu­tup tanpa penyaman udara dalam tempoh masa yang agak lama,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Kokurikulum, Pusat Pembelajaran Bahasa, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Dr. Erwan Ismail memberitahu, antara cara yang boleh dilakukan untuk mencegah strok haba ialah memi­num air secara kerap dan konsisten.

Menurut beliau, ibu bapa atau masyarakat perlu mengehadkan masa di kawasan yang lapang terdedah kepada cahaya matahari seperti taman permainan atau padang.

“Kita juga boleh mengamalkan dengan mengenakan pakaian yang berwarna cerah berbanding gelap serta mandi secara kerap.

“Sekiranya kita mempunyai tanda-tanda strok haba seper­ti tidak berpeluh, suhu badan mening­kat, kulit kering, nadi kuat serta laju, sakit kepala dan tidak sedar boleh merujuk ke klinik atau hospital berdekatan untuk rawatan,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI