fbpx

Mahkamah: Dua beranak lepas, bebas tuduhan cemar Sungai Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kin Sang (dua dari kiri) dan anaknya Wern Teik ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang tiga tahun lalu.-Gambar fail

SELAYANG – Dua beranak dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mencemarkan Sungai Gong, Rawang tiga tahun lalu.

Hakim Osman Affendi Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap kedua-dua tertuduh iaitu Chai Kin Sang, 65, dan anak lelakinya, Chai Wern Teik, 34, diakhir kes pendakwaan itu.

“Mahkamah mendapati tiada keterangan kredibiliti (boleh dipercayai) yang menunjukkan kedua-dua tertuduh telah melupuskan atau membuang apa-apa bahan berbahaya ke dalam alur air yang mengalir ke Sungai Gong. Maka, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh tidak bersalah dalam mengakibatkan pencemaran Sungai Gong pada Oktober 2020,” kata hakim itu.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 25 Mei 2021 seramai 21 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni manakala pembelaan diwakili oleh peguam Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Pada 3 November 2020 Kin Sang dan Wern Teik didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari FG Autoparts Sdn. Bhd.

Bahan berbahaya itu dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia akan mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi maksud minuman manusia.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34  yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa  niat bersama didakwa melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari premis sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen.

Bagi kesalahan tersebut pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) dan boleh boleh dihukum dibawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Lot 16273 Jalan Sungai Bakau, Batu Arang Rawang di sini antara 17 hingga 19 Oktober lalu.

Sebelum ini media melaporkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas berikutan insiden pencemaran minyak sehingga menyebabkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pihak polis memaklumkan, terdapat lima kes berkaitan pencemaran air telah disiasat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI