fbpx

Sultan Ibrahim rasmi Hospital Pakar KPJ Damansara 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Johor, Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) yang baharu di sini hari ini.

PETALING JAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Hospital Pakar KPJ  Damansara 2 (DSH2) yang baharu di sini hari ini.

Ketibaan Baginda sekitar pukul 12.12 tengah hari disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Royani,  Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamad Syed Ibrahim dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), Datuk Md Arif Mahmood.

Majlis perasmian tersebut dimulakan dengan baginda berkenan menandatangani plak perasmian hospital, yang diikuti tayangan montaj dan bacaan doa di lobi utama sambil disaksikan barisan pengurusan tertinggi dan kakitangan DSH2.

Dibuka pada 1 September 2022, DSH2 dibina di atas tanah berkeluasan 1.12 hektar dengan 300 kapasiti katil, 10 unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Antara bidang kepakaran hospital tersebut adalah dalam otak, saraf dan tulang belakang; jantung dan paru-paru; tulang dan sendi; pembedahan laparoskopi serta radiologi.

Pelancaran DSH2 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPJ Healthcare Berhad untuk menetapkan penanda aras dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, selain turut menetapkan standard baharu dalam penjagaan klinikal dengan berteraskan kepada pesakit dan pelanggan.

DSH2 menggabungkan dan memanfaatkan kuasa digital dan teknologi yang dilengkapi dengan kakitangan, jururawat dan perunding yang terlatih dan berpengalaman bagi memastikan pesakit dan pelanggan menerima tahap penjagaan dan perkhidmatan yang tiada tandingan. -KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI