fbpx

Lesap RM90,000 ditipu jual beli kereta Honda HRV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM90,000 selepas menjadi mangsa penipuan urusan jual beli kereta.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu ditipu ketika dalam proses membeli sebuah kereta Honda jenis HRV melalui seorang ejen jualan kereta.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki warga tempatan berkaitan tipu urusan jual beli kenderaan.

“Mangsa memaklumkan berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa bekerja sebagai ejen jualan di sebuah syarikat kenderaan terkemuka yang terletak di Jalan Damansara, di sini, 9 Januari lalu.

“Ketika itu, mangsa telah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran tersebut telah diserahkan kepada pihak syarikat.

“Pada 29 April hingga 4 Mei pula mangsa telah membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Amihizam, pada 11 Mei mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan.

Tambah beliau, mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka.

“Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek sudah dikenal pasti.

“Orang ramai diminta supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI