fbpx

Agong seru rakyat tegakkan perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yang di-Pertuan Agong tiba pada majlis sambutan Minggu Perpaduan 2023 di Tebingan Sungai Kuching, pagi tadi.

KUCHING – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru rakyat Malaysia untuk menegakkan perpaduan kerana ia merupakan nilai penting di dalam negara.

Bertitah pada majlis sambutan Minggu Perpaduan 2023 di Tebingan Sungai Kuching pagi tadi, baginda bertitah, nilai perpaduan boleh disemai bermula dari rumah.

“Semua rakyat seharusnya menjadikan nilai perpaduan sebagai satu aset negara yang utama sekali demi masa depan.

“Dalam masa yang sama, kita harus mengurangkan perbezaan sesama kita sebagai rakyat Malaysia yang kita cintai, merapatkan jurang perbezaan kaum dan agama,” titah baginda di sini, hari ini.

Baginda tiba di Kuching bagi menyempurnakan perasmian sambutan Minggu Perpaduan 2023 yang berlangsung di Tebingan Sungai Kuching.

Ketibaan Al-Sultan Abdullah disambut Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sambutan Minggu Perpaduan merupakan salah satu inisiatif di bawah Kembara Perpaduan Malaysia Madani yang akan disambut di seluruh negara pada minggu terakhir bulan Mei setiap tahun.

Sambutan Minggu Perpaduan menjadi manifestasi kepada perpaduan dalam kepelbagaian yang telah kita kecapi sejak sekian lama dan akan terus dipelihara.

Pada tahun ini, Kuching telah terpilih sebagai tuan rumah bagi sambutan peringkat kebangsaan bersempena pengiktirafan bandar ini sebagai Bandaraya Perpaduan.

Pada majlis yang sama, Yang di-Pertuan Agong turut perkenan melancarkan lagu tema perpaduan yang menggabungkan pelbagai dialek di Malaysia bertajuk Setia Perpaduan.

Lagu itu digubah hasil daripada cetusan idea baginda demi untuk menerapkan semangat perpaduan rakyat Malaysia dan ia merupakan ciptaan Datuk DJ Dave dan lirik nya oleh Prof. Dr. Lim Swee Tin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI